Usul Dewan Ulamak taawun PAS Umno

KUANTAN: Bagi menentukan kelangsungan kuasa Islam dan Melayu, Dewan Ulamak PAS Pusat akan membawa satu usul berkaitan kerjasama politik antara PAS dan Umno.

Advertisement

Ketuanya, Dato’ Mahfodz Mohamed berkata, kerjasama antara kedua-dua parti itu sudah bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang menyaksikan kejatuhan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu katanya lagi, Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil langkah tersebut menerusi satu usul yang bakal dibawa kepada Muktamar Tahunan PAS ke-65 untuk dijadikan sebagai hala tuju perjuangan parti.

“Maka kami menyatakan sokongan kepada usaha yang sedang dijalankan itu, bagi mendapat sokongan sepenuhnya dari perwakilan agar usaha ini terus memperkasakan kerjasama ini.

“Jadi bila kami membawa usul tersebut nanti untuk dibawa ke Muktamar PAS Pusat, maka suara penyatuan yang disuarakan ulama dapat sokongan sepenuhnya, itu harapan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini yang disempurnakan Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Dato; Hashim Jasin, hari ini.

Mahfodz berkata lagi walaupun PAS sudah bermusuh sejak sekian lama tetapi situasi politik yang berlaku hari ini memungkinkan kerjasama dilaksanakan bagi menjatuhkan Pakatan Harapan.

“Sebab itulah kita pun sedar, Umno pun sedar tiada cara lain untuk kita merampas semula pemerintahan, mahu tidak mahu suka atau tidak, kita terpaksa atau kena ada kerjasama ini.

“Kita melaksanakan konsep taawun dahulu kerana kedua-dua pihak ada identiti sendiri, bukan penyatuan, bukan bergabung itu harapan kita, kerana bagi saya memang satu kewajipan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019