Wujud kesatuan ekonomi untuk kuatkan ummah

KUANTAN: Kesatuan umat juga perlu diwujudkan melalui wadah ekonomi antaranya menerusi kempen membeli produk Muslim, selain bersama para usahawan bagi menguatkan gemblengan ekonomi Islam.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nasrun Othman berkata, latihan perlu diberikan hingga mampu melahirkan individu seperti Abdul Rahman Auf R.A yang berjaya mengambil alih monopoli Yahudi.
 
Beliau berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini sebentar tadi.
 
Jelasnya, kesatuan ekonomi yang dipupuk mampu menjadi kekuatan ummah iaitu dilaksanakan dengan mengajak mengajak semua pihak bersama Islam dan mempertahankan al-Quran dan Sunnah.
 
Pemahaman mengenai penyatuan ummah juga katanya, mesti diserukan dan difahamkan kepada semua golongan dalam jamaah dengan diperjelaskan matlamat ingin dicapai dalam perjuangan ini.
 
Beliau menyeru segala sengketa lama dilupakan dengan masing-masing berpegang kepada tali Allah yaknilah menterjemahkan maksud “Demi Islam” sebagaimana tema ucaptama muktamar kali ini. – HARAKAHDAILY 20/6/2019
Advertisement