Ideologi manusia nyata gagal – Tuan Guru

KUANTAN: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memegaskan, dunia menyaksikan kejatuhan pemikiran komunis dan kapitalis yang bercanggah dengan fitrah dalam membangunkan negara.

Advertisement

Katanya, komunisme menolak wujudnya Tuhan dan mengekang kebebasan individu.

Namun, tambahnya idealogi itu gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang saksama manakala kapitalisme pula bertuhankan kebendaan dan memberi kebebasan individu namun terjerut dengan hutang dan tamak haloba serta menolak hubungan politik dan agama.

“Kita juga sedang menyaksikan kecelaruan kiblat politik dan ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang sehingga kini gagal mengemukakan idea dan gagasan bernegara mengikut acuan Islam sebenar,” kata beliau semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini pagi ini.

Ujar beliau, terlalu panjang untuk disenaraikan kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan yang hanya tahu menyalahkan pihak lain dan menjenamakan serta menghidupkan kembali program kerajaan terdahulu yang dikritik mereka.

Tindakan itu, kata beliau sehingga ada yang menggelar Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang lemah dan tidak boleh diharap (kerajaan kakistokrasi).

Malah katanya, cukuplah rakyat menilai pembohongan Pakatan Harapan terhadap janji manifesto yang belum tertunai, penipuan ijazah akademik di kalangan menteri, kebisuan terhadap pihak yang menghina kesucian Islam dan Baginda Nabi S.A.W.

Tambahanya lagi, PH gagal menguruskan ekonomi yang menjanjikan lebih peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat. – HARAKAHDAILY 21/6/2019