Islam Memimpin Perpaduan, Melayu selamat bersama Islam

KUANTAN: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hadi Abdul Awang menegaskan bahawa wujudnya kepelbagaian, perbezaan, perselisihan dan pertembungan adalah fitrah kejadian manusia.

Advertisement

Namun yang menyatukan perbezaan ini kata beliau hanyalah Islam kerana Islam berupaya memimpin perpaduan.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tidak mungkin manusia hidup secara individualistik, semuanya memerlukan kerjasama dan perkongsian kemahiran untuk menyempurnakan kehidupan.

Kata beliau, ini kerana tidak ada manusia atau kaum yang pandai dalam semua perkara dan tidak ada negara yang ada semua hasil keperluan.

Bagi melaksanakan perbezaan yang wajib di atas, kata Tuan Guru Abdul Hadi perlu diselaraskan secara saksama dengan melaksanakan konsep perpaduan yang unggul supaya bersama dalam titik persamaan dan menjaga sempadan apabila adanya perbezaan.

“Islam menegaskan bahawa perpecahan dan pertembungan juga adalah sifat kejadian manusia secara naluri kerana ada dalam kalangan mereka yang mengikut hawa nafsu dan memaksa pihak lain menerimanya secara paksaan.

“Sifat itu wajib dihalang dan ditentang bagi menyelamatkan semua,” tegasnya.

Dalam aspek perkauman pula, kata beliau Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia ada perasaan kecintaan kepada keluarga dan kaumnya.

Namun tambahnya, kecintaan itu ada sempadan, iaitu haram dijadikan sebagai akidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik (asabiyyah) yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain.

Tegasnya, Islam mewajibkan hubungan silaturrahim dalam kalangan keluarga dan bangsa.

Dalam masa yang sama katanya, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan berkonsepkan masyarakat madani yang bertaaruf, adil untuk semua dan tiada paksaan untuk menganut Islam atau hidup aman di bawah pemerintahan Islam.

Melayu, bumiputera mendominasi

Sementara itu katanya, para ulama Islam berpegang kepada konsep dominan kaum dalam kepimpinan negara dengan sifat anjal kerana perubahan dunia, di mana sejarah pelantikan ketua dalam pemerintahan Islam mengalami perubahan mengikut dominan kaum yang menganut Islam.

Dalam politik Malaysia pula tegasnya, hendaklah diambil kira Bumiputera Melayu berbagai rumpun yang kuat berpegang dengan Islam menjadi kaum dominan dilantik sebagai teras kepimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berperlembagaan.

Jelas beliau, kuatnya Melayu berpegang pada Islam sehingga ditarifkan Melayu itu sebagai beragama Islam di sisi perlembagaan.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi, kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan.

Sebaliknya kata beliau, kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya.

“Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik,” ujarnya.

PAS menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara.

Hal ini kerana kata beliau, Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan berakidah Islam dan berakhlak mulia.

“Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat,” katanya.

Justeru itu kata beliau, adalah tidak beradab atau berakhlak, apabila adanya kenyataan di kalangan bukan Islam mempertikaikan hak istimewa Islam, Melayu dan peribumi.

“Paling tidak berakhlak apabila mengeluarkan kenyataan yang biadab terhadap Islam dan mengancam terhadap usaha menyatukan umat Islam dan Bumiputera, dengan cara melampau sehingga perpaduan orang Melayu Islam dan Bumiputera ini dianggap sebagai musuh yang ditentang kerana menjadi ancaman kepada kaum lain,” tegasnya.

Tambahnya, PAS melalui pemerintahan di Kelantan dan Terengganu sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua kaum dan bangsa bukanlah ucapan kosong yang sudah dibuktikan melalui hak kebajikan dan beragama yang dijaga oleh kerajaan di bawah kepimpinan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan. – HARAKAHDAILY 21/6/2019