Itu tanda ketenangan dalam PAS – Presiden

KUANTAN: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika disoal mengenai pemilihan kepimpinan PAS sempena muktamar yang dikatakan janggal kerana banyak jawatan tertinggi parti ini dimenangi tanpa bertanding oleh calon, menyifatkan bahawa suasana tersebut menggambarkan ketenangan di dalam PAS.
 
“Itu menandakan ketenangan dalam PAS, tidak bergolak. Dan tidak ada aktiviti berjiwa dalam PAS,” ujarnya ketia ditemui media dalam sidang media Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA), di sini hari ini.
 
Jawatan Presiden PAS, Timbalan Presiden, Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, bahkan seluruh jawatan Dewan Ulamak PAS Pusat telah dimenangi calon tanpa bertanding.
 
Sementara itu, mengulas mengenai jangkaan bahawa PRU15 yang dikatakan dijangka berlaku lebih awal, Ahli Parlimen Marang itu berkata bahawa ura-ura tersebut hanyalah jangkaan semata-mata.
 
“Kalau yang datang, itu ilmu Allah, saya tak tahu. Ia cuma ramalan, ramalan boleh buat, ramalan kemungkinan berlaku lebih awal, yang tepatnya kita tidak tahu. Kena tanya perdana menteri, soalan ini lebih baik dituju kepada perdana menteri,” ujarnya.
 
Beliau yang juga diminta mengulas mengenai partisipasi MCA bersama PAS berkata bahawa pihaknya sudah pun membuka ruang kepada MCA untuk meneruskan kerjasama tersebut dengan langkah awal di Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, dan kini ianya terpulang kepada MCA sama ada mahu meneruskan kerjasama tersebut. –HARAKAHDAILY 21/6/2019
Advertisement