PAS beristiqamah bangunkan Negara Berkebajikan

KUANTAN: Pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus perlahan bagi tahun 2019 sehingga 2020, disumbangkan oleh kelemahan permintaan dalam negeri dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Advertisement

Kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi, berdepan dengan situasi kelembapan ini, kerajaan dilihat masih gagal untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi negara dengan mengambil kira peluang pekerjaan yang terhad, kos sara hidup rakyat yang terus meningkat dan kuasa beli yang

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS ke -65 di Stadium Tertutup Pahang (SUKPA) di sini hari ini.

Katanya, PAS beristiqamah untuk membangunkan sebuah ‘Negara Berkebajikan’.

Tambahnya, ianya berteraskan perkongsian ekonomi yang adil untuk semua, berbeza dengan konsep Negara Kebajikan (Welfare State) yang sempit.

Malah katanya, langkah-langkah yang perlu diambil bagi membaiki kedudukan ekonomi negara antaranya membetulkan falsafah ekonomi kepada yang lebih adil dan memakmurkan kehidupan.

Kata beliau, ia sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Selain itu katanya, perlu membetulkan pelaksanaan dasar ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa pahala, budaya integriti yang tinggi, serta mencegah berlakunya pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan rasuah.

Sementara itu tambahnya, perlu memanfaatkan sumber alam dan pendapatan negara secara mampan supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, seterusnya merapatkan jurang kaya-miskin yang semakin melebar.

Tambahnya lagi, PAS menolak diskriminasi dan berkebajikan kepada semua tanpa mengira kaum, fahaman politik serta wilayah, sekali gus menolak amalan kronisma, nepotisma dan monopoli yang menekan rakyat.

Selain itu katanya, PAS tekad membangunkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti (Al-Qawiy dan Al-Amin) sebagai tunjang pembangunan negara yang terlatih dan berdaya saing.

Berdepan dengan pentadbiran Pakatan Harapan, PAS akan terus komited memperjuangan Malaysia yang bebas rasuah, telus dan berdaya saing dengan kritikan yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini, katanya.

Sementara itu tegasnya, segala pertuduhan rasuah dan pecah amanah perlu disiasat dan didakwa di mahkamah secara adil oleh para hakim, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ oleh para Menteri.

“Kita bukan berteori kerana telah membuktikan dengan rekod bebas rasuah, telus, berhemat dan adil untuk semua sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu termasuklah Kedah, bukannya seperti Pakatan Harapan ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya.

Dalam hal ini, PAS mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa PAC Parlimen bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, SPRM, PDRM dan juga Bank Negara Malaysia, demi mengukuhkan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi di pihak Tabung Haji, FELDA, MARA dan institusi ekonomi Bumiputera yang terpenting. – HARAKAHDAILY 21/6/2019