Pihak berkuasa digesa tangani isu anjing liar

TAMBUN: PAS Cawangan Medan Klebang Restu bersama guru PASTI Al-Aisar telah menziarahi ahli pelajar PASTI yang mendapat kemalangan setelah motosikal tunggangannya cuba mengelak anjing liar.
 
Berikutan itu, datuk pelajar tersebut yang berusia 80 tahun tidak berupaya melakukan sebarang aktiviti setelah mengalami kecederaan di kepala, termasuk patah tulang rusuk akibat dari insiden itu.
 
Rutin harian beliau yang sebelum ini menghantar dan menjemput cucunya di PASTI Al-Aisar di taman perumahan tersebut kini terhenti setelah terlantar sakit akibat kemalangan menimpa atasnya.
 
Ketua PAS Medan Klebang Restu, Khairi Ramli memaklumkan, kawasan perumahan tersebut sememangnya terdapat banyak anjing liar yang sedikit sebanyak mengganggu keselamatan penduduk.
 
“Pelbagai masalah yang dialami oleh penduduk antaranya kebersihan persekitaran yang terjejas kerana tong sampah rumah penduduk diceroboh oleh anjing liar tersebut. 
 
“Selain itu, keselamatan pengguna jalan raya dan kanak-kanak yang bermain di taman permainan ditahap membimbangkan berikutan anjing liar yang banyak di kawasan perumahan ini,” ujarnya. 
 
Sehubungan itu, PAS Medan Klebang Restu berpendapat isu ini boleh diselesaikan dengan tindakan serius pihak berwajib menangani anjing-anjing liar tersebut demi kesejahteraan masyarakat. – HARAKAHDAILY 21/6/2019
Advertisement