PJ Sarawak gesa kerajaan urus BSH lebih sistematik

RAMAI Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 yang dulu dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) meluahkan perasaan tidak puas hati cara pengagihan BSH sekarang. Mereka terpaksa berpusu-pusu datang ke Bank Simpanan Nasional (BSN) semata-mata untuk mendapatkan BSH tersebut walaupun terpaksa beratur panjang dan lama menunggu.
 
Ada juga penerima BSH membawa keluarga mereka dari jauh seperti dari pedalaman atau kawasan luar bandar yang terpaksa membawa anak-anak kecil mereka ke tempat tersebut. Mereka mengadu masalah mereka yang terpaksa mengisi borang dan beratur panjang untuk mendapatkan BSH. Mereka berkata sebelum ini, mudah untuk mengeluarkan wang tunai untuk mendapatkan BSH tetapi sekarang mereka terpaksa pergi ke cawangan BSN untuk menuntut wang tunai BSH.
 
Bagi mereka yang tiada akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan pemohon yang terdapat pada borang permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019. Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang mengalami masalah pengkreditan secara terus ke akaun bank masing-masing boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
 
Inilah antara punca mengapa orang ramai berpusu-pusu ke BSN untuk mendapatkan BSH apabila hanya BSN saja dibenarkan mengeluarkan BSH.  Sebelum ini, mereka terus menerima dalam akaun masing-masing tetapi kini mereka terpaksa mengisi borang dan beratur panjang untuk mendapatkan BSH.
 
Kami menggesa kerajaan untuk memulihkan cara pengagihan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 dengan lebih cekap berbanding sebelum ini, bukan sebaliknya, walaupun kerajaan telah berubah. Pengagihan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 perlu lebih sistematik dan lebih cekap untuk memudahkan penerima tanpa memerlukan beratur panjang hanya untuk mendapatkan RM300.
 
Kami sangat bersimpati dengan nasib penerima BSH yang datang dari jauh yang terpaksa menunggu lama dan seseorang yang terpaksa bermalam kerana mereka tidak mendapat BSH tepat pada masanya kerana terlalu banyak orang menunggu giliran mereka.
 
Kami berharap kerajaan dapat mengagihkan BSH dengan cara yang lebih baik supaya masalah mereka yang datang dari jauh bukan sahaja datang dengan tangan kosong dan terpaksa berbelanja lebih hanya untuk mendapatkan BSH.
 
Semoga masalah ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin dan penerima yang layak ia perlu diberi keutamaan. Kerjasama dengan semua pihak yang terlibat amat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 21/6/2019
20190621 141257
 
20190621 141237
 
Advertisement