Presiden PAS melakar landskap politik negara

PEMBAHARUAN politik PAS di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengubah landskap politik PAS dari ‘Juara Kampung’ kepada diterima masyarakat bandar. Strategi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digunakan sewaktu krisis 2015 sehingga terkeluarnya sebahagian kecil pemimpin dari PAS yang akhirnya membentuk PAN. 
 
Walaupun PAS dilihat sebagai parti pembangkang sejak 1951. Senario kekuatan dan pengaruh tidak dapat dinafikan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak Utara. Kini hampir 60 peratus keahlian PAS adalah anak- anak muda yang berpelajaran dan celik media sosial. 
 
Malahan strategi BPMS dan usaha diplomasi politik Dato’ Seri Abdul Hadi berjaya merapatkan saf bersama Umno. Sesuatu yang diluar jangkauan ahli-ahli PAS dan Umno sebelum 2008. Dato’ Seri Abdul Hadi perlu dinilai positif kepimpinannya berbanding krisis amanat yang dikeluarkan beliau pada 1980-an. 
 
Sebagai penganalisis politik saya melihat Dato’ Seri Abdul Hadi lebih berkredibiliti memimpin gabungan PAS dan Umno. Ini disebabkan pengalaman beliau belajar daripada kesilapan terdahulu dan bersikap terbuka dalam memperhebatkan PAS pasca PRU13 berjaya meletakkan PAS sebagai organisasi yang berdaya saing. 
 
Tanpa ada elemen ketidakintegritian dan kekuatan semangat wala’ dalam kalangan ahli merupakan kekuatan dalamannya. Kekuatan luaran PAS adalah kepimpinan beliau meletakkan kepentingan perjuangan akar umbi yang ingin perubahan daripada kepentingan agenda dirinya. Ini adalah sesuatu yang sukar dicari tetapi tidak mudah dilaksanakan. 
 
Kebanyakan pemimpin parti akan meletakkan agenda kepentingan diri dan mengajar ketaatan dan ketaksuban kepada kepimpinannya. Tetapi tidak pada Dato’ Seri Abdul Hadi. Ketaatan kepada parti amat penting. Pemimpin boleh datang dan pergi. Tetapi kelangsungan dan kekuatan parti tidak boleh diganti. 
 
Maka PAS sebenarnya adalah satu-satunya parti yang masih mampu bertahan dengan prinsip tersebut. Banyak parti politik sudah terkubur apabila pemimpin telah melanggari prinsip tersebut. Ini boleh dibuktikan kemenangan PAS di Terengganu telah meletakkan golongan anak muda dan profesional menjadi Menteri Besar dan bukannya Dato’ Seri Abdul Hadi sendiri. 
 
Sikap sebegini boleh dilihat apabila PAS dan Umno berjaya menawan Putrajaya nanti. Apa yang pasti penyatuan PAS dan Umno adalah penyatuan ummah yang semakin hari semakin kuat. Cuma gerakan strategi amat penting dalam penyatuan tersebut agar negara ini berjaya mengembalikan zaman kegemilangan Melayu Islam di rantau ini.
 
DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH – HARAKAHDAILY 22/6/2019
Advertisement