Urus bakat dan pembinaan pelapis

KUANTAN: Susulan kelemahan pengurusan media sosial parti PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan pandangan beliau bahawa aspek pengurusan media parti tersebut memerlukan pemerkasaan yang jitu selain mempercayai platform media sosial parti sama ada dalam kapasiti organisasi atau peribadi perlu diselaraskan.

Advertisement

Katanya, ia juga seabgai satu langkah menghadapi kecelaruan media tanpa sempadan yang tiada suntikan elemen agama dan bermoral hari ini.

“Maklumat perlu disampaikan kepada kumpulan sasaran yang tepat dalam kadar yang cepat, serta diukur keberkesanannya.

“Saluran maklumat berkaitan parti secara terus kepada ahli juga perlu diperkasakan, supaya ahli tidak tercari-cari maklumat yang dikehendaki yang akhirnya menyebabkan maklumat daripada sumber lain lebih dipercayainya berbanding sumber rasmi parti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bersempena Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang berlansung di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa), di sini, hari ini.

Oleh itu, beliau mempercayai bahawa sudah sampai waktu dimana semua institusi latihan didalam PAS perlu diletakkan dibawah satu bumbung Akademi Latihan PAS yang mengumpulkan bidang kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan media, pembinaan imej dan pengucapan awam.

Katanya, kesemua bidang kemahiran ini perlu diwajibkan kepada semua peringkat kepimpinan PAS secara berkala dengan penglibatan jurulatih bertauliah, proses perpindahan ilmu dan pengalaman yang lebih berkualiti dengan penglibatan jasawan Assabiqun PAS sebagai mentor di dalam Akademi Latihan PAS ini.

Tambah beliau, demi melihat pengurusan bakat dan pembinaan pelapis kepimpinan yang lebih tersusun dan bersistematik, penubuhan Jabatan Sumber Manusia merupakan suatu perkara yang wajar diusahakan secara serius melibatkan semua dewan. – HARAKAHDAILY 21//6/2019