‘Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa’

KUANTAN: Cubit paha kiri paha kanan terasa, begitu juga sebaliknya, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Perumpamaan itu sebagai menggambarkan hubungan PAS dan Umno yang sedang berlangsung sekarang.

“Dahulu ketika Hizbul Muslimin diharamkan penjajah ada di antara pemimpinnya lari menyertai Umno. Malah PAS pernah menyokong kerajaan sebelum ini mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam mengekang pengaruh komunis.

“Namun sebaliknya pemimpin PAS pula menjadi mangsa tahanan ISA,” katanya pada majlis makan malam anjuran kerajaan negeri dan Perhubungan Umno Pahang di Wisma Belia Indera Mahkota di sini, malam tadi. Hadir sama pimpinan utama PAS dan Umno Pahang serta perwakilan muktamar PAS yang berkampung di sini sejak Rabu lepas.

Muktamar bermula dengan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia yang diadakan di Gambang Resort City pada Sabtu lepas, manakala Dewan Pemuda mengadakan muktamar di lokasi sama pada Rabu dan Khamis lepas.

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pula diadakan di Wisma Belia pada Khamis.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, bekas pemimpin Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berceramah di pentas PAS setelah dipecat keahlian Umno oleh Tunku Abdul Rahman.

“Dahulu ketika berdepan dengan isu-isu kecil pun kita boleh bekerjasama, apatah lagi sekarang rakyat berdepan dengan isu besar. Apa yang penting kita perlu bekerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2019