Muktamar PAS Pusat bahas lulus sembilan usul

KUANTAN: Sembilan usul dikemukakan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 iaitu masing-masing satu usul agama, pendidikan dan antarabangsa, empat usul politik serta dua usul ekonomi, tidak termasuk beberapa usul melibatkan perlembagaan bersifat pentadbiran. 
 
Usul pertama dari PAS Kawasan Pulai, supaya PAS setiap peringkat tetap teguh mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu daripada usaha-usaha tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan kedudukannya demi kepentingan Islam dan umat. 
 
Kedua, usul PAS Kawasan Balik Pulau, mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghentikan projek terowong dasar laut dan menggesa SPRM mengumumkan hasil siasatan projek tersebut dan mendesak Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat skandal projek tersebut. 
 
Usul ketiga dari PAS Kawasan Serdang agar Kerajaan Persekutuan mewujudkan akta dana parti politik khususnya dana dari luar negara. 
 
Manakala usul keempat dari PAS Kawasan Kuala Langat mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia supaya mengembalikan semula  beberapa peruntukan kepada sekolah yang telah ditarik balik seperti peruntukan Unit Penghayatan Islam dan Moral. 
 
PAS Kawasan Titiwangsa membawa usul kelima mendesak Kerajaan Persekutuan mengemukakan laporan audit bebas terhadap Tabung Haji, memperbaiki kelemahan Tabung Haji tanpa melibatkan pemindahan aset ke Special  Purpose  Vehicle (SPV), serta beberapa perkara berkaitan.
 
Usul keenam, juga dari PAS Titiwangsa supaya PAS Pusat menubuhkan badan bertindak bagi mengambil langkah wajar agar Ahli Lembaga Pengarah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan organisasi berlandaskan Islam ditadbir oleh individu yang mempunyai kepakaran di bidang berkaitan. 
 
Usul bersama dari Dewan Muslimat PAS Malaysia, PAS Kawasan Pulai, PAS Kawasan Bagan Datuk dan PAS Kawasan Kuala Krau supaya PAS Pusat menggesa dan mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula Seksyen 233 dan Seksyen 298A supaya hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pesalah yang menghina Agama Islam dan Rasulullah.  
 
Sementara usul kelapan juga bersama dari Dewan Ulamak PAS Pusat, PAS Kawasan Pandan, PAS Kawasan Kota Raja, PAS Kawasan Serdang, PAS Kawasan Kuala Pilah, PAS Kawasan Sungai Besar dan PAS Kawasan Temerloh. 
 
Mereka mengusulkan kepada pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak agar memeterai Taawun dan Tahaluf Siyasi dengan Umno serta parti-parti politik lain berdasarkan garis panduan dan syarat yang di tetapkan.
 
Usul terakhir dari Dewan Pemuda PAS Malaysia supaya PAS Pusat menggesa Kerajaan Persekutuan konsisten dalam mempertahankan dan memperjuangkan nasib umat Islam sejagat serta mengutuk kezaliman ke atas umat Islam khususnya di Xinjiang, Myanmar, Syria, Mesir dan Palestin.
 
semua sembilan usul diterima termasuk tiga usul yang telah diterima tanpa bahas. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
Advertisement