PAS tidak tuntut jadi ketua gabungan PAS-Umno

KUANTAN: PAS tidak berhasrat untuk mengetuai gabungan PAS-Umno yang kini dimaklumkan masih di dalam perbincangan intipati piagam PAS-Umno, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Menurutnya, prinsip kepimpinan Islam tidak semestinya dipimpin parti PAS mahupun Umno, bahkan beliau mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak ketiga yang akan memimpin kepimpinan Islam yang menjadi prinsip parti PAS.
 
“Kita sebut secara umum kepimpinan Islam, bukan mesti Umno, bukan mesti daripada PAS, boleh jadi pihak ketiga jadi ketua, politik boleh berlaku semua, boleh berlaku begitu.
 
“Politik ini fleksible, perlu difahami. Kita tidak menuntut (untuk menjadi ketua), melainkan orang memaksa dan kita perlu kehadapan,” ujarnya kepada media pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA), di sini, semalam.
 
Beliau ketika diminta mengulas mengenai pengikut PAS yang masih berdegil enggan menerima gabungan PAS-Umno berkata, mereka yang tidak bersetuju dengan hasrat itu sudah lama meninggalkan parti tersebut.
 
“Lebih memudahkan kita, yang tidak setuju itu keluar parti lain, itu lebih senang, (dan) mereka dah keluar parti, tubuh PAN, yang nak keluar parti, sudah keluar,” ujarnya.
 
Tambah beliau, para pengikut PAS mula menerima hasrat tersebut melalui penjelasan-penjelasan yang disampaikan, malah dibuktikan dengan banyak program yang dilangsungkan di akar umbi melibatkan juga MIC serta kaum Cina di Malaysia.
 
“Dalam politik, ada yang tersurat, ada yang tersirat, yang tersurat ini difahami oleh ahli-ahli biasa, yang tersirat ini adalah satu sikap politik yang perlu penjelasan, bila mereka dengar penjelasan, mereka terima.
 
“Yang tak terima sudah keluar parti, itu menyenangkan kita, tak ada keluar parti itu menandakan dia terimalah,” jelasnya lagi sambil mengakui bahawa terdapat ‘Umnofobia’ di dalam PAS, juga ‘PASfobia’ di dalam Umno.
 
Namun jelasnya, Umnofobia mahupun PASfobia haruslah diketepikan dengan meletakkan Islam yang utama untuk menjaga keamanan dan perdamaian demi kepentingan ummah, bukan untuk menjaga perasaan.
 
Ditanya mengenai sekiranya terdapat mana-mana individu atau kumpulan yang disenaraikan-hitamkan dari menyertai gabungan PAS-Umno, beliau menafikan PAS berbuat demikian.
 
Malah, tambah beliau, yang dihitamkan sudahpun terputus daripada PAS di mana mereka itu adalah dalam kalangan tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut.
 
“PAS tidak ada senarai hitam, yang hitam sudah terputus daripada PAS, senarai hitam itu adalah mereka yang tidak menerima kerjasama.
 
“Itu senarai hitam, yang tak terima kerjasama, dah lama mereka keluar parti, kecuali mereka dapat memutihkan diri dia, dan dia menerima kerjasama ini, dia akan balik kepada PAS, kita terbuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
Advertisement