Sensitiviti agama tidak dijaga jejas perpaduan

KUANTAN: Malaysia sebagai sebuah negara yang unik mempunyai pelbagai bangsa yang boleh hidup dalam satu komuniti.

Advertisement

Perwakilan PAS Negeri Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri mengingatkan bahawa perpaduan di dalam komuniti boleh musnah jika tidak dijaga dengan baik.

Beliau berucap demikian ketika perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke-65 di Stadium SUKPA, di sini.

Katanya, perpaduan boleh musnah jika pendidikan tidak dikawal dengan baik kerana sistem dan dasar pendidikan kebangsaan menegaskan perpaduan sebagai matlamat utama negara.

Seterusnya jika sensitiviti agama tidak dijaga dengan baik ianya akan turut menjejaskan perpaduan yang wujud di negara ini.

“Kita sedia maklum bahawa mereka antara golongan yang berbangga minum arak beramai-ramai.

“Mereka juga antara golongan yang menyebabkan pergaduhan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, dari tahun 2012 hingga 2015 lebih daripada lapan ribu kaum Melayu di barat daya telah keluar dari Pulau Pinang sehingga melenyapkan kampung-kampung Melayu.

Hal ini, ujanya kerana kerajaan telah membina kawasan perumahan yang ‘futuristic’ di mana harga mahal yang tidak mampu dibeli oleh penduduk dan akhirnya mereka terpaksa keluar.

Selain itu, di daerah timur laut sudah terdapat masjid-masjid yang tidak cukup bilangan untuk menunaikan solat Jumaat.

“PAS Pulau Pinang memohon kepada PAS Pusat untuk sentiasa membuat susulan terhadap apa yang berlaku kepada kami yang diperintah oleh DAP.

“Oleh itu, marilah kita menyahut semua seruan Tuan Guru Presiden dalam ucaptamanya supaya kita terus istiqamah menghadapi cabaran bagi menjayakan agenda ‘Islam Memimpin Perpaduan’,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 22/6/2019