Urus organisasi dan gerak agenda secara padu

KUANTAN: Perwakilan Pemuda PAS Malaysia, Muhamma Faizzuddin Mohd Zai menegaskan bahawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mesti diamalkan di semua peringkat Cawangan, Kawasan dan Negeri. 
 
Katanya, media sosial sebagai sumber utama untuk menentukan sikap dan keputusan politik kerana kerajaan hari ini didukung oleh Facebook dan Whatsapp yang dipimpin oleh kaki penyambut fitnah.
 
“Penguasaan media penting dengan menggunakan media baharu untuk menyebarkan dakwah dan syiar. Kita mempunyai kelebihan Presiden yang tidak henti-henti menulis mencurahkan idea.
 
“Sehinggakan berjaya menulis hampir seratus artikel,” ujarnya mengingatkan kerugian ahli PAS dan rakyat Malaysia andai tidak mencerna idea Tuan Guru.
 
Perkara tersebut dinyatakannya ketika perbahasan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini tadi.
 
Sementara itu menurut beliau, antara punca kekalahan PAS dalam PRU14 ialah kelemahan pengurusan media, selain menyeru wacana rakyat digalakkan untuk bertukar pendapat dan suara rakyat didengari oleh kerajaan dan parti politik.
 
Jelas beliau, antara cara boleh dilaksanakan adalah ruang seperti Townhall dengan memperbanyak rakyat bertukar pendapat, selain pemimpin juga perlu turun ke lapangan mendengar masalah dengan dibantu kalangan profesional untuk mencari jalan penyelesaian.
 
Katanya, PAS mesti melibatkan rakyat untuk menentukan sikap, pendirian dan perancangan berkaitan kepentingan rakyat yang diurus dengan pendekatan iaitu dengan mekanisma lebih mengikat seperti Jawatankuasa Penasihat, Majlis Perundangan dan Panel Pakar Rujuk.
 
Selain itu, pendekatan majlis bersifat ad-hoc untuk menangani sesuatu isu seperti Felda, dasar bahasa dan lain-lain juga penting bagi pengurusan organisasi dengan mewujudkan inisiatif penyelesaikan masalah dan gerakan operasi di semua peringkat.
 
“Sebagai contoh, mewujudkan sistem pengurusan sumber manusia PAS. Penjawat jawatan dalam PAS hendaklah dipilih melalui sistem pengurusan sumber manusia seperti Akademi Kepimpinan PAS,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
Advertisement