AJK PAS Pusat: 9 ulama, 9 profesional

KUANTAN: Debaran yang ditunggu sejak petang Jumaat lepas akhirnya terjawab hari ini apabila senarai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat diumumkan sebelum Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 melabuh tirai.

Advertisement

Bagaimanapun Pengerusi Tetap, Husin Ismail berkata, debaran itu tidak terasa sangat apabila senarai calon AJK tidak banyak berubah berbanding sesi lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS muktamar kali ini Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, pihaknya terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi bagi menyelesaikan pemilihan tersebut.

Katanya pada awal pagi sebelum pemilihan berlangsung jawatankuasa membuat persiapan bagi memastikan sistem komputer yang digunakan tidak bermasalah.

“Saya mengucap terima kasih di atas kerja keras jawatankuasa bagi memastikan pemilihan berjalan lancar,” katanya ketika mengumumkan senarai AJK PAS Pusat baharu sesi 2019-2021.

Berdasar kepada senarai 18 calon yang menang didapati sembilan orang daripadanya terdiri daripada kelompok profesional manakala sembilan lagi golongan ulama.

Penganalisis menyifatkan dakwaan profesional terpinggir daripada arus perdana PAS sekarang tidak berasas berdasar senarai AJK PAS Pusat yang menang hari ini.

Golongan professional termasuk Dr Halimah Ali, Dr Azman Ibrahim, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali, Dr Zuhdi Marzuki, Dr Riduan Mohamad Noor, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi dan Dr Najihatulssolehah Ahmad. – HARAKAHDAILY 23/6/2019