Gerak kerja kebajikan perlu anjakan paradigma, inovasi

KUANTAN: Gerak kerja kebajikan memerlukan anjakan paradigma di mana ahli dan pimpinan PAS tidak harus merasa terikat dengan pemberian sumbangan semata-mata dalam memenuhi tuntutan berkaitan.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, kewangan tidak harus menjadi penghalang dalam melaksanakan gerak kerja berkaitan kebajikan yang sangat luas skopnya.
 
“Ia merentas usia, kaum, bangsa, lajnah, kementerian dan segalanya. Tidak semua isu kebajikan kita boleh urus sendiri, perlu kerjasama daripada pihak lain.
 
“Bila kita luaskan kerja kebajikan ini, adakala kita jadi perantara kepada pihak-pihak yang memerlukan dengan pihak bertanggungjawab menyediakan,” terang beliau.
 
Perkara tersebut dinyatakannya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.
 
Beliau turut melontarkan inovasi dalam gerak kerja kebajikan dengan saranan antaranya menubuhkan pusat tuisyen, membantu ibu tunggal, selain mendapatkan sumber dan rakan strategik.
 
Beliau turut menyeru agar ahli membantu Tabung Murabitun yang sangat bermanfaat dalam membantu kebajikan para ahli tertimpa musibah dan sebagainya menerusi peranan dari dana itu.
 
Begitu juga mintanya, perkara sama terhadap Skim PAS yang merupakan program khusus kebajikan ahli dengan usaha untuk menggunakan perkhidmatan takaful masih diusahakan.
 
Dalam penerangan tersebut beliau juga membentangkan mengenai gerak kerja dan peranan Sekretariat Prihatin OKU yang lebih dikenali sebagai Unit Pengupayaan OKU (UPAYA). – HARAKAHDAILY 23/6/2019
Advertisement