Perjuangan terus dipacu, selamat berjuang

mu2

HARI ini adalah hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA Pahang.

Advertisement

Sebentar tadi telahpun diumumkan kepimpinan PAS yang baharu bagi meneruskan langkah perjuangan Islam ini mendepani cabaran mendatang.

Pengalaman semalam, merentas dua sesi (4 tahun) saya diamanahkan sebagai Ketua Penerangan PAS, tentu sahaja banyak perkara yang saya pelajari berbanding apa yang mampu saya lakukan bagi menyumbang kepada perjuangan Islam ini.

Apa yang paling mengganggu saya dan tentunya saya sangat sedih serta kesal mengenangnya, ialah apabila memikirkan segala ketidakupayaan diri ini menggalas amanah parti.

Ya Allah, Kau ampunkanlah diri yang lemah ini. Janganlah Kau azab diri yang kerdil ini atas kegagalann menunaikan tanggungjawab perjuangan.

Saya berdoa agar parti yang akan meneruskan cabaran perjuangan Islam bagi sessi-sessi mendatang ini, akan terus ditambah kuat dan mantap oleh saf kepimpinan yang saya yakin jauh lebih baik dan hebat.

Perjuangan Islam ini akan terus dipacu maju oleh tokoh-tokoh baru yang memiliki ilmu, karisma dan syakhsiyah yang tinggi.

Mewakili seluruh warga kerja penerangan PAS sesi 2017-2019, kami memohon maaf kepada semua, khasnya pucuk pimpinan parti atas kelemahan kami sewaktu mengendali Lajnah Penerangan PAS di semua peringkat sepanjang 2 sesi yang lalu.

Terima kasih sebanyak-banyaknya buat rakan-rakan media yang tidak jemu memberi liputan dan mengangkat berita PAS kepada awam meskipun sesekali dilaporkan secara negatif oleh segelintir media.

Kami tetap menghargainya. Terima kasih jua buat pejuang-pejuang di alam siber yang sangat banyak membantu penerangan PAS.

Semoga Allah SWT. mengampunkan kesalahan kita semua dan mengurniakan kekuatan kepada kita, guna meneruskan perjuangan suci ini.

Islam Memimpin Perpaduan

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit. 115
19 Syawal 1440 | 23 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 23/6/2019