Kekalahan AK Parti di Istanbul, suatu pengajaran

“Whoever loses Istanbul loses Turkey” – Recep Tayyip Erdogan

Advertisement

Kekalahan Istanbul

Pilihan raya semula kerajaan tempatan Istanbul yang berlangsung pada hari Ahad, 23 Jun menyaksikan calon pembangkang, Ekrem Imamoglu, mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang lebih tinggi.

Dalam pilihan raya tempatan 31 Mac yang lalu, Ekrem Imamoglu yang mewakili Parti Rakyat Republikan (CHP), telah memenangi pilihan raya tempatan Istanbul dengan memperolehi 48.8% undi berbanding Binali Yildrim yang mewakili Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Parti) yang mendapat 48.6% undi.

Pilihan raya semula 23 Jun terpaksa diadakan setelah Lembaga Tertinggi Pilihanraya Turki membatalkan keputusan pilihan raya 31 Mac di atas dakwaan berlaku penipuan dalam proses pengundian.

Namun setelah proses pengiraan tidak rasmi selesai, Imamoglu mengisytiharkan kemenangan dengan memperolehi 54% undi berbanding 45% undi yang diperolehi Yildrim dengan majoriti yang lebih besar iaitu 9%, berbanding majoriti tipis 0.2% yang diperolehinya dalam pilihan raya Mac yang lalu.

Kemenangan CHP, parti tertua di Turki yang berideologi Kamalisme, di kerusi majlis perbandaran Istanbul pastinya memberi tamparan besar kepada Presiden Erdogan dan AK Parti yang dipimpinnya.

Pengajaran Istanbul

Pilihan raya tempatan Istanbul mempunyai signifikan yang tersendiri dalam konteks penguasaan politik Presiden Erdogan dan AK Parti di Turki.

Malah kedudukan Turki yang terletak di tengah persaingan kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Rusia, serta negara sekutu seperti Arab Saudi dan Iran menyaksikan Turki mempunyai kepentingan strategik dalam mengimbangi kestabilan geo-politik dan ekonomi dunia.

Selain itu kedudukan Turki sebagai sebuah negara umat Islam yang mempunyai sejarah dan sosio-budaya yang gemilang, kini berdepan dengan pertembungan identiti di kalangan generasi muda yang lebih terbuka dengan pemikiran dan gaya hidup Barat.

Justeru penolakan majoriti rakyat terhadap parti politik Islam seperti AK Parti dan Saadet di bandar-bandar besar seperti Istanbul dan Ankara mewajibkan kumpulan Islam di Turki bermuhasabah dan memperbaiki keadaan sebelum terlambat.

Selain meningkatkan kedudukan ekonomi dan peluang pekerjaan di Turki yang berdepan dengan tekanan daripada Amerika Syarikat dan Eropah, Presiden Erdogan perlu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keadilan, ketelusan dan integriti di pihak kerajaan yang dikritik hebat oleh pembangkang dan media pro-Barat.

Terlebih penting adalah perpaduan di kalangan kumpulan Islam dan penghayatan Islam yang sebenar di kalangan umatnya bagi memastikan Islam terus memimpin Turki. Ini kerana sebarang perpecahan hanya akan membuka ruang kepada kemenangan kumpulan sekular dan campurtangan asing dalam negara.

Inilah mesej ‘Islam Memimpin’ yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kepada kumpulan Islam di Turki untuk mengukuhkan kerjasama bagi memelihara kekuatan dan perpaduan ummah, seterusnya menghalang musuh daripada mengambil kesempatan di sebalik perpecahan sesama sendiri. – HARAKAHDAILY 24/6/2019