Muktamar kekal taawun bukan tahaluf

KUANTAN: Presiden PAS menjelaskan kerjasama politik dengan Umno masih kekal konsep taawun dan bukannya tahaluf atau persefahaman politik.

Advertisement

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama sekarang bertaawun dahulu memandangkan tahaluf ada syarat-syarat yang dipersetujui bersama.

“Tahaluf maksudnya persefahaman. Tahaluf kita akan lakukan kemudian yang bergantung kepada keadaan politik selepas ini kerana usul pada muktamar kali ini mengizinkan sama ada taawun dan tahaluf,” katanya pada sidang media di akhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini petang semalam.

Sebelum itu usul taawun siyasi diluluskan Dewan Ulamak PAS Pusat pada muktamar yang diadakan pada Khamis lepas.

Malah usul serupa turut dibawa PAS Kawasan Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar dan Temerloh dengan mengambil kira Rasulullah SAW menerima konsep taawun dan tahaluf bersama pihak lain bagi menentang kezaliman tanpa meninggalkan prinsip akidah Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PAS menyokong perubahan yang memberi manfaat kepada Islam walaupun tidak menyertai kerajaan. – HARAKAHDAILY 24/6/2019