BUKIT GANTANG: Lajnah Pendidikan bersama Lajnah ICT PAS Kawasan Bukit Gantang telah menganjurkan seminar motivasi di Markaz PAS Bukit Cempedak, di sini pagi semalam.
Seminar Motivasi bertajuk “You Can Do It” ini adalah khusus untuk anak-anak ahli PAS sahaja yang berusia dari umur 10 tahun sehingga 17 tahun, lelaki dan perempuan.
Program seminar motivasi ini disampaikan oleh Motivator Akademi Mahligai Ilmu, Muhammad Saifullah Jalaluddin dari Kuantan yang merupakan anak jati kelahiran Bukit Gantang.
Objektif program adalah untuk memberi kesedaran kepada peserta berkaitan tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa, selain peranan selaku pelajar dan ahli masyarakat.
Seminar ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Hassan Abdul Halim yang turut memberikan kata-kata semangat kepada peserta.
Semua peserta terdiri daripada anak-anak ahli PAS yang berasal dari Dun Kuala Sepetang, Dun Changkat Jering dan Dun Trong dalam kawasan Bukit Gantang ini. – HARAKAHDAILY 24/6/2019

