DAP ‘cacing kepanasan’ hadap isu pendidikan

KAMPAR: Tindakan DAPSY menggambarkan kejahilan mereka mengenai Perlembagaan Persekutuan dan bertindak melulu terhadap kenyataan Ustazah Salamiah Mohd Noor yang memberi pandangan berkenaan isu pendidikan. 
 
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat berkata, laporan polis dibuat DAP berniat jahat dan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dalam memberi pandangan yang telah dijamin oleh Perlembagaan.
 
“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan mereka yang dilihat seolah-olah cuba menjadi hero, tapi kurang cerdik walaupun dikatakan dibarisi pemuda berlatarbelakangkan bidang perundangan. 
 
“Kami ingin mempersoalkan mengapa DAP khususnya DAPSY Kampar menggelupur seperti cacing kepanasan dengan cadangan itu sehingga sengaja ingin memangsakan Ustazah Salamiah dengan Akta Hasutan? 
 
“Sedangkan pemimpin-pemimpin PH berulang kali mendesak agar akta ini dihapuskan sebagaimana janji PH dan DAP dalam Manifesto PH. Ini juga hanya menunjukkan sikap tidak konsisten mereka,” bidasnya.
 
Terang beliau, mengikut sejarah, sekolah vernakular diiktiraf selepas terbitnya Penyata Razak 1956 di mana pada mulanya, British hendak menghapuskan semua sekolah vernakular. 
 
Tetapi ujarnya, atas dasar menghormati antara kaum, Tunku Abdul Rahman telah menghalangnya di mana sekolah vernakular yang dibenarkan hanyalah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)  sahaja. 
 
“Apabila sampai tahap menengah, semua pelajar perlu memasuki sekolah aliran kebangsaan. Dengan kata lain, tiada sebarang masalah pun sekiranya kerajaan mahu menghapuskan SJK.
 
“Atau menghentikan dana kepada sekolah vernakular. Kerana cuma melibatkan pertukaran dasar kerajaan sedia ada sahaja dan tidak melanggar klausa dalam perlembagaan,” hujahnya.
 
Tambah beliau, harapan kebanyakan rakyat Malaysia ialah ingin melihat isu sekolah vernakular diambil tindakan yang matang oleh kerajaan kerana dilihat seolah-olah melebarkan jurang perpaduan kaum.
 
Pihak beliau turut menyatakan solidariti buat Ustazah Salamiah dan mendoakan agar terus diberi kekuatan untuk berjuang menentang sebarang agenda dan tindakan yang ingin mencalarkan dan merosakkan perpaduan kaum di Malaysia. – HARAKAHDAILY 25/6/2019
Advertisement