Pencemaran udara: Khidmat Malaysia buka bilik operasi

kh1

KHIDMAT Malaysia telahpun turun ke Pasir Gudang bagi melihat sendiri perkembangan bencana pencemaran udara yang sedang dihadapi oleh penduduk Pasir Gudang. Saya telah diiring oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Haji Mahfodz, Iqbal Ghani Ismail (Pengarah Jabatan Amal Johor), Abd. Aziz Abdullah (Setiausaha Khidmat Malaysia Negeri Johor), Puan Derwena Masuruni (Ketua Briged Muslimat Johor) dan beberapa orang petugas daripada Jabatan Amal serta Briged Muslimat.

Advertisement

Kami telah ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang (KKPG) dan Stadium Tertutup Pasir Gudang (STPG) untuk meninjau keadaan pengurusan bencana di sini.

Di KKPG, petugas Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah diberikan tugas untuk menguruskan mereka yang disyaki terkena pencemaran tersebut. Mereka yang terlibat terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Petugas Khidmat Malaysia yang terdiri daripada angggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah pun mula turun untuk membantu pihak pengurusan seperti mana yang telah dilakukan ketika Ops Bencana Sisa Bahan Kimia pada bulan Mac 2019 yang lalu.

Bilik Operasi Sementara (BOS) bagi bencana pencemaran udara di Pasir Gudang ini telah dibuka di PASTI AL-KAUTHAR 14, No.32, Jalan Mawar 33, Taman Mawar, Pasir Gudang.

Mengikut laporan daripada BOS, bermula pagi tadi sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, terdapat seramai 5 orang yang mendapatkan rawatan di KKPG dan seramai 14 orang yang dirawat di STPG.

Setakat ini, keadaan masih terkawal lebih-lebih lagi selepas sekolah diarahkan bercuti. Namun, setiap petugas Jabatan Amal dan Briged Muslimat diminta bersiap sedia sentiasa.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha Khidmat Malaysia Pusat
Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Johor
21 Syawal 1440 / 25 Jun 2019, 2.50 petang – HARAKAHDAILY 25/6/2019