Sekolah Menengah Agama Labuan dipinggirkan

PAS Kawasan Labuan melihat Menteri Agama dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak beri keutamaan serta prihatin kepada keperluan pembinaan Sekolah Menengah Agama Islam Labuan.
 
Ini terbukti pada 22 Jun semasa Menteri tersebut turun ke Labuan, hanya mengumumkan kelulusan pembinaan beberapa buah masjid dan surau sahaja.
 
PAS Labuan memandang isu ini adalah satu kegagalan pihak Kementerian Agama dan pihak MAIWP yang sukar untuk diterima walau apa jua alasan yang akan diberikan.
 
Sekolah Menengah Agama (SMA) sebenarnya sudah lama diminta pembinaanya oleh penduduk Labuan 
 
Kronologi permintaan pembinaan SMA ini sudah berlarutan sejak lebih  20 tahun berlalu.
 
1.    Peruntukan pembinaan sebanyak RM 60 juta sudah diluluskan dan diumumkan oleh PM Kerajaan BN lalu pada tahun 2015.
 
2.    Tapak (Tanah) untuk pembinaan SMA sudah dikenalpasti dan diluluskan sejak tahun 2010. 
 
3.    SMA Labuan menumpang kelas pembelajaran di bangunan Sekolah Rendah Agama Lubok Temiang sejak tahun 2010.
 
4.    SMA Labuan juga menumpang asrama di SRAI Layang-layangan, SRAI Bebuloh, SRAI Sungai Miri sejak tahun 2010 hingga 2017.
 
5.    SMA Labuan meneruskan lagi menumpang asrama di Komplek Darul Kifayah pada januari tahun 2018 sehingga kini manakala kelas pembelajaran masih lagi menumpang di SRAI Lubok Temiang.
 
6.    Pembinaan SMA ini juga pernah dibincang hangat dalam mesyuarat Pengelola Sekolah-sekolah MAIWP di Kuala Lumpur sejak 2014 hingga 2017. Sehinggakan konsultan pembinaan SMA sudah dilantik. 
 
7.    Dan terakhir satu memorandum telahpun diserahkan oleh Yang Dipertua PIBG SMA kepada Kementerian Agama (melalui POS Laju),  juga diserahkan ‘By  Hand’ kepada Pengerusi MAIWP dan CEO MAIWP pada bulan Mac 2019 namun sehingga kini sunyi sepi. 
 
Kronologi permintaan, perbincangan dan proses kelulusan tersebut terlalu lama sehingga sekarang masih belum ada tanda tanda SMA ini akan dibina.
 
Ini jelas membuktikan betapa tidak efisyen Kementerian Agama dan MAIWP dalam menangani isu ini.
 
PAS Labuan minta pembinaan SMA ini disegerakan dan penduduk Labuan tidak mahu lagi mendengar apa jua alasan dari pihak terbabit. 
 
Sekarang adalah masa untuk ‘execute’ bukan lagi mencipta alasan yang pelbagai.
 
Daripada fakta dan data yang PAS Labuan huraikan di atas, maka kami melihat dan merasakan tidak ada alasan lagi untuk pihak Kementerian Agama dan MAIWP untuk berdalih atau melambatkan projek pembinaan SMA Labuan. 
 
PAS Labuan menggesa agar kementerian Agama atau pihak MAIWP  bertindak secara profesional dan transparen supaya membentangkan  ‘monthly  progress’ dengan mengujudkan satu Website khusus bagi melaporkan pembinaan SMA berasrama penuh ini kepada rakyat sehingga SMA ini siap dibina dan digunakan. 
 
Kegagalan berbuat demikian pasti akan merendahkan keupayaan, imej dan keberkesanan pentadbiran Kementerian Agama dan MAIWP di mata penduduk Labuan.
 
Jika SMA ini gagal direalisasikan maka hanya satu sahaja lagi penyelesaian iaitu: Tunggu ‘People Judgement’  pada PRU15.
 
HAJI HAMIR ZAHARI
Yang DiPertua
PAS Kawasan Labuan
25 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 25/6/2019
Advertisement