KOTA BHARU: Penganjuran Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 dianggap menjadi medan bagi ilmuwan dan intelektual merungkai permasalahan, cabaran dan isu semasa yang melibatkan golongan wanita.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, kerajaan Kelantan berbangga kehadiran delegasi antarabangsa untuk berkongsi pengalaman dengan kerajaan negeri.
Katanya, mereka begitu menghargai dan teruja melihat pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dijadikan dasar utama kerajaan negeri bagi mengurus tadbir negeri selama 29 tahun.
“Mereka juga bersetuju untuk menjadikan dasar MBI sebagai antara rujukan utama dalam mewujudkan Islamic Development Goals untuk digunapakai di peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Hari Sayyidatina Khatijah di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan serta 65 pembentang kerja dari dalam dan luar negara.
Turut hadir isteri Menteri Besar Datin Siti Zabedah Abdul Hamid. Hari Saidatina Khadijah 2019 diadakan bermula Isnin lepas dan akan berakhir esok. Lebih 40 orang delegasi daripada 17 negara hadir pada persidangan tersebut.
Pada perasmian itu juga Menteri Besar melancarkan logo rasmi Hari Sayyidatina Khadijah dan Gagasan Wanita Kelantan (GWK).
Selain itu menyampaikan enam anugerah tokoh, enam ikon wanita Kelantan, Anugerah Khas Wanita Cakna Kebajikan dan Anugerah Tokoh Wanita Antarabangsa.
Ustaz Ahmad juga merakam ucapan tahniah kepada Urussetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita (U-KeKWa) dengan kerjasama International Muslim Women Union serta Persatuan Ulama Malaysia (PUM) di atas kejayaan penganjuran persidangan tersebut. – HARAKAHDAILY 26/6/2019