MPKK cari laman rumah ceria

KOTA BHARU: Bagi menyemarakkan lagi agenda Kelantanku Bersih yang menjadi fokus kerajaan negeri penggal ke-14, Urusetia Pembangunan Penghulu Kelantan akan menganjurkan pertandingan keceriaan laman rumah bermula Ogos depan.

Advertisement

Pengarahnya Jamaluddin Ishak berkata, sebanyak 155 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daripada 636 MPKK seluruh Kelantan terlibat dengan aktiviti tersebut.

Katanya, pertandingan itu akan berlangsung dalam tempoh empat bulan dan dijangka berakhir Disember hadapan.

“Pelancaran pertandingan itu akan diadakan di Pantai Seri Tujoh Tumpat. Ia diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan.

“155 MPKK yang terlibat merupakan bagi fasa pertama selepas kita menerima geran dari kerajaan pusat sebanyak RM10,000 bagi setiap MPKK,” katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya anjuran Yayasan Amanah Tok Kenali dan Urusetia Penghulu Kelantan di Syabab Point hari ini.

Turut hadir pada program itu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. – HARAKAHDAILY 26/6/2019