Kerajaan perlu tingkat penguatkuasaan

SELURUH rakyat Malaysia masih merasa bersedih di atas tragedi berulang yang menimpa penduduk Pasir Gudang, Johor akibat pencemaran sisa toksik yang masih dalam siasatan pihak berwajib. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sangat curiga bagaimana tragedi ini boleh berulang dalam masa yang singkat. Adakah disebabkan oleh proses pembersihan yang tidak lengkap atau berpunca dari sumber pencemaran yang baru?
 
DPPM berharap mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan dengan segera. DPPM amat kesal di atas tragedi yang berulang ini kerana penguatkuasaan  seharusnya ditangani dengan lebih efektif oleh agensi pengawalan yang bertanggungjawab.
 
Justeru itu, DPPM menekankan keperluan pihak kerajaan untuk meningkatkan penguatkuasaan, khususnya dalam peruntukan pengurusan sisa toksik berdasarkan Pengurusan Bahan Buangan Terjadual Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan Peraturan Bahan Buangan Terjadual, 2005. Pihak DPPM memandang serius perkara ini memandangkan peruntukan yang sedia ada di dalam PPBBT 2005 yang mewajibkan pihak pengeluar sisa toksik untuk memaklumkan kepada pihak berwajib dalam masa 30 hari. 
 
Pihak DPPM melihat peruntukan PPBBT 2005 yang menetapkan garis panduan pengurusan sisa buangan terjadual secara ‘cradle  to  grave’ bermula dari mula sisa toksik dihasilkan sehinggalah ianya dilupuskan secara selamat, sepatutnya dapat menghalang tragedi ini daripada berulang.
 
DPPM menyokong aktiviti bantuan dan sokongan mangsa. DPPM telah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun ke lokasi bagi sama-sama membantu agensi-agensi Kerajaan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat. Sebanyak empat stesen kawalan dan bantuan di kawasan terbabit telah pun diwujudkan.
 
DPPM juga mengarahkan Dewan Pemuda PAS Negeri-Negeri dan Kawasan untuk melakukan solat Hajat dalam waktu terdekat di seluruh Negara agar dimudahkan segala usaha menyelamat dan mengawal situasi di sana serta diberikan kesabaran dan kerahmatan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
 
IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/6/2019
Advertisement