Pemimpin PAN jangan ambil mudah hukum Allah

PIMPINAN PAN usahlah ambil mudah hukum Allah dan cakap tidak serupa bikin. Dengan menuduh pemimpin PAS menggunakan agama untuk kepentingan sendiri berpandukan ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr. Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa Pakatan Harapan (PH) wajib dijatuhkan adalah pemikiran yang cukup cetek dan dangkal.

Advertisement

Sebenarnya apa yang jelas ditakuti oleh pimpinan PH ialah gabungan PAS-Umno ketika ini dan juga untuk menghadapi PRU akan datang. Dengan mengada-adakan cerita tidak benar tentang PAS, mereka berharap rakyat akan menjauhi PAS dan juga menolak gabungan PAS- Umno.

Namun mereka pimpinan PH terutamanya PAN lupa, selepas PRU dan masa ini rakyat sudah mula jelas yang sebenarnya Kerajaan PH tidak konsisten sebagai sebuah Kerajaan dan tidak mampu memimpin kerana sehingga sekarang hala tuju PH sebagai sebuah Kerajaan kabur dan tidak jelas.

Sehingga sekarang masih tidak nampak halatuju kemajuan ekonomi Kerajaan PH seperti yang dijanjikan. Kos sara hidup dan barangan masih tinggi dan membebankan pengguna. PTPTN dan tol masih dikenakan kepada rakyat, begitu juga AES malah ditambah. Peluang pekerjaan tidak bertambah seperti yang dijanjikan.

Malah kedudukan ekonomi Malaysia masih terkebelakang berbanding dengan negara Asia Tenggara yang lain. Nikmat hidup yang dijanjikan PH ketika PRU masih tidak kunjung tiba walau lebih setahun memerintah. Rakyat sudah mula sedar mereka tertipu lalu ramai mula mempersoalkan malah majoriti rakyat sudah jelas menolak Kerajaan PH.

Apakah pimpinan PH terutamanya PAN tidak sedar atau pura-pura tidak sedar hakikat tersebut? Ketika berkempen di PRU14, salah satu kempen mereka ialah mengajak rakyat untuk menolak Kerajaan BN kerana sudah tidak mampu memerintah negara dengan baik dan berkesan. Apakah salah jika pemimpin PAS mengajak rakyat menolak Kerajaan PH kerana tidak menunaikan janji-janji mereka dan tidak kompetan memerintah?

Mungkin pemimpin PAN sudah lupa, bagaimana Allah menetapkan hukum kepada orang yang berjanji tetapi tidak menunaikannya. Atau pun sebenarnya PH tidak langsung memperdulikan hal tersebut asalkan dapat memenangi pilihan raya. Jangan ambil mudah hukum Allah dengan orang yang tidak menepati janji wahai pemimpin PAN kerana Allah tidak mungkir janji.

Ataupun sebenarnya mereka sedaya upaya sedang cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar yang melanda PH, perebutan kuasa dan percakaran dalaman sesama mereka yang semakin jelas pada mata rakyat terutamanya semenjak terbitnya video hanyir baru-baru ini.

Nasihat kepada PH terutamanya pemimpin PAN, jangan pergunakan agama untuk kepentingan politik anda. Rahmatan Lil Alamin biarlah kena pada tempatnya iaitu membawa rahmat untuk semua. Jika janji pun tidak mampu tunai dan masih berdolak dalih serta nasib rakyat jelata masih sama malah makin sukar, tidakkah motto tersebut hanya untuk kepentingan sendiri semata-mata.

Usah cakap berdegar-degar namun seperti tin kosong. Umpama mendengar guruh berdentum di langit, air di tempayan habis dicurahkan. Begitulah nasib rakyat, berdentum-dentum mendengar janji PH ketika PRU lalu, akhirnya satu habuk pun tidak ada. – HARAKAHDAILY 28/6/2019