Rayu bantu keluarga bayi diuji masalah kesihatan

SUNGAI  SIPUT: PAS Kawasan Sungai Siput telah mengadakan kunjungan ziarah amal kepada keluarga di mana memiliki bayi yang diuji dengan masalah kesihatan di kediaman mereka di Taman Keledang, di sini.

Advertisement

Lawatan diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Sungai Siput, Hairal Mat Ibrahim itu menjengah sendiri keadaan bayi tersebut dan kehidupan keluarganya dalam menanggung ujian itu.

“Bayi kecil berusia lapan bulan ini sekian lama terlantar akibat masalah lebihan cecair dalam otak atau saintifiknya Hydrocephalus. Ini membezakan dia dengan bayi lain ekoran kepalanya memikul beban berat,” terangnya.

Dimaklumkan semasa ziarah itu, bayi tersebut kini di bawah jagaan nenek dan ibu saudaranya yang turut menanggung segala kos rawatan dan kesihatan, selain urusan kebajikan bapa saudara pesakit juga OKU.

Difahamkan juga, usaha pelbagai pihak membantu keluarga ini untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum menemui kepastian.

Sehubungan itu, PAS Sungai Siput berharap pihak berkenaan mengambil tindakan serius, serta menyeru keprihatinan pelbagai pihak membantu kesempitan hidup sedang dialami keluarga ini. – HARAKAHDAILY 27/6/2019