Ta’awun pimpin rakyat bangkit tumbang PH

TA’AWUN PAS-Umno yang berlaku sekarang ini serta kesediaan PAS dalam melakukan ta’awun dan tahaluf dengan mana-mana parti politik dan NGO serta NGI yang boleh menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS menunjukkan sikap keterbukaan PAS yang berdiri teguh dengan prinsip Islam yang diperjuangkan.
 
Pasca PRU14 memperlihatkan bagaimana kebangkitan kaum teras Melayu dan Bumiputera di Malaysia atas tindak balas kepada kerajaan PH yang banyak kepincangan walau baru setahun lebih memerintah sejak 9 Mei 2018 lalu.
 
Tindak balas respon rakyat umum terhadap kerajaan PH ini dapat disaksikan apabila dalam 3 PRK dimenangi oleh pihak pembangkang menerusi ta’awun PAS-Umno iaitu di Cameron Highland, Rantau dan Semenyih.
 
Malah perkiraan berdasarkan undi popular berdasarkan keputusan PRU 14 yang lalu, jika gabungan undi antara Umno menerusi BN dan juga PAS menerusi Gagasan Sejahtera adalah sebanyak 6 juta lebih dan angka ini mengatasi undi popular PH yang memperolehi 5,795,954 undi. 
 
Sehubungan itu, usul ta’awun yang dibentangkan dalam Muktamar PAS Pusat oleh wakil Dewan Ulamak PAS Pusat yang disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan disambut baik juga oleh Pemuda PAS Selangor. Usul ini menunjukkan sikap dan tindakan PAS terhadap perkembangan realiti semasa sama ada dari sudut perkembangan dakwah serta realiti politik semasa khususnya pasca PRU14.
 
Pemuda PAS Selangor juga melihat usul ini sangat penting bagi memimpin kebangkitan rakyat terhadap respon balas kepincangan Kerajaan PH dengan wujud persefahaman antara dua parti politik teras Melayu Islam yang paling lama dan terbesar di Tanah Air kita. 
 
Ini kerana dengan teknologi canggih semasa pada hari ini, maklumat sangat senang diakses oleh rakyat dengan lebih cepat dan meluas. Maka kebangkitan rakyat ini akan lebih terpimpin dengan strategi ta’awun dan tahaluf  siyasi yang dilakukan oleh PAS dalam menyatukan suara rakyat bagi menolak kepincangan kerajaan PH pada PRU 15 akan datang. 
 
Justeru, Pemuda PAS Selangor akan terus menyusun langkah untuk memastikan usul ini dapat dijayakan dengan baik secara penuh di peringkat anak muda negeri Selangor khususnya.
 
“Demi Islam”
“Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 24 Syawal 1440 / 28 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 28/6/2019
Advertisement