Cadang MP isytihar harta masih perlu diperhalusi

KUALA  LUMPUR: PAS sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan tidak ada apa-apa perlu disembunyikan dari khalayak umum, demikian menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
 
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata demikian sebagai mengulas usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta di mana ura-ura akan dibentang di Dewan Rakyat minggu depan.
 
Maklum beliau, PAS setakat ini belum memutuskan pendirian rasmi berhubung usul tersebut, namun secara peribadi dirinya berpandangan cadangan itu tiada masalah untuk diterima.
 
“PAS yakin bahawa setiap pemimpin yang dipilih, apatah lagi seorang Ahli Parlimen sudah tentu mempunyai ketelusan sesuai dengan prinsip PAS meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya.
 
“Tinggal lagi, isu-isu keselamatan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak perlu diteliti terlebih dahulu setakat mana ia boleh memberikan kesan kepada keselamatan seseorang Ahli Parlimen dan keluarga masing-masing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2019
Advertisement