Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (36)

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ ۚ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا

Advertisement

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.”

Penekanan utama ayat:

●     Zalim

Zalim bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempat sepatutnya. Ia merupakan lawan kepada adil. Apabila Allah menyatakan orang yang menolak hidayah adalah sezalim-zalim manusia, maka tidak akan muncullah terma bawaan Liberalisme yang berbunyi “kafir yang adil”, kerana kafir itu sendiri adalah suatu kezaliman.

●     Qalb

Qalb di dalam bahasa Arab bermaksud jantung, bukannya hati seperti yang difahami. Berdasarkan hadis, ia merupakan ibu kepada segala jasad manusia. Jika ia baik maka baiklah seluruh jasad manusia dan jika sebaliknya, rosaklah jasad. Maka apabila hati tertutup daripada kebenaran, seluruh diri akan menyeleweng daripada kebenaran.

●     Ikhtiari

Manusia sendiri yang memilih jalan hidup mereka. Allah jadikan pada manusia dan jin sifat ikhtiari iaitu bebas memilih apa yang mereka mahukan di dunia ini. Apabila manusia itu sendiri memilih untuk menolak petunjuk kebenaran Islam, maka Allah akan hukum mereka dengan menutup hati dan telinganya terus daripada kebenaran.

Ibrah akhir zaman:

Di dunia ini terdapat golongan tertentu yang telah Allah gazetkan bahawa mereka tidak akan menerima hidayah selama-lamanya. Ayat ini ditujukan khusus kepada beberapa individu musyrikin Quraisy dan terbukti, ramai di kalangan mereka mati dalam keadaan kufur walaupun telah sampai kepada mereka segala keterangan dan dakwah Islam.

Allah juga telah gazetkan di dalam al-Quran bukan sahaja golongan yang kufur terhadap Allah, malah menjadi musuh kepada Islam pula iaitu pakatan Yahudi dan Kristian. Firman Allah S.W.T:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”

[al-Baqarah:120]

Juga firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

[al-Maaidah:51]

Yahudi merupakan pengikut asal Nabi Musa A.S dan Nabi-nabi berketurunan Bani Israel. Walau bagaimanapun, mereka tidak mengiktiraf kenabian Nabi Isa A.S dan Nabi Muhammad S.A.W menyeleweng daripada ajaran kitab Taurat. Nasrani pula merupakan ajaran pengikut Nabi Isa A.S yang kemudian menyeleweng daripada Taurat. Mereka menganggap Isa sebagai anak tuhan.

Menerusi keterangan ayat Allah S.W.T di atas, golongan yang menjadi musuh kepada Islam adalah pakatan Yahudi dan Nasrani. Jika dilihat perkembangan semasa hari ini, pakatan Yahudi dan Nasrani telah membentuk gerakan Zionis.

Justeru mana-mana pihak yng bersekongkol dengan Zionis di kalangan Yahudi dan Nasrani adalah termasuk di kalangan mereka yang digazetkan sebagai musuh oleh Allah dan perlu dijauhi. Walau bagaimanapun, Yahudi dan Nasrani yang tidak bersetuju dengan Zionis seperti Yahudi mazhab Naturei Karta dan Nasrani mazhab Ortodoks tidaklah termasuk di kalangan mereka.

Allah turut menjelaskan bahawa walaupun Yahudi dianggap bangsa paling kuat bermusuh dengan Islam, namun di sana terdapat kumpulan Nasrani yang mengasihi umat Islam. Firman Allah S.W.T:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

[al-Maaidah:82]

Sifat Yahudi tidak perlu diterangkan lagi kerana ayat mengenai permusuhan mereka terhadap Islam begitu konsisten. Namun mengenai orang Nasrani, ayat ini sedikit berbeza kerana mendakwa ada Nasrani yang mengasihi Islam. Jika dikaji teks ayat, ia menunjukkan bahawa Nasrani yang dimaksudkan adalah Nasrani yang berbangga dan tidak malu mengaku mereka adalah Nasrani.

Ada ulamak berpendapat yang dimaksudkan dengan Kristian ini adalah merujuk kepada Kristian Ortodoks yang dianuti oleh Roman Byzantine. Sehingga kini ia menjadi anutan di Syria, Mesir, Eropah Timur tetapi kebanyakannya berada di Rusia.

Ada juga yang berpandangan simplistik, dengan mengatakan semua Kristian adalah baik termasuk Amerika yang dikuasai oleh Protestan Sekular dan Evangelikal. Sedangkan sifat mereka dengan mafhum nas jauh panggang daripada api.

Pandangan yang lebih harmoni adalah, bahawasanya Kristian yang dimaksudkan oleh al-Quran meliputi Kristian Ortodoks dan Katolik hari ini. Ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat tersebut lebih kurang sama antara Katolik dan Ortodoks. Tetapi tidak termasuk Protestan yang menganut fahaman sekular dan Evangelical yang menyokong agenda Zionis.

Justeru melatari pembukaan kota Rome, penganut Katolik di Vatican City akan menerima Islam. Terdapat suatu hadis yang berbunyi:

كنا عند عبدِ اللهِ بنِ عمرو بنِ العاصِ، وسُئِلَ أيُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فدعا عبدُ اللهِ بصندوقٍ له حِلَقٌ، قال: فأخرج منه كتابًا قال: فقال عبدُ اللهِ: بينما نحنُ حولَ رسولِ اللهِ نكتبُ، إذ سُئِلَ رسولُ اللهِ: أىُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فقال رسولُ اللهِ: مدينةُ هرقلَ تُفتحُ أولًا: يعني قسطنطينيةَ

“Sahabat bertanya bandar manakah yang bakal dibuka dahulu, Constantinople atau Roma? Jawab Nabi S.A.W: Bandar Heraclius yang pertama dibuka.”

[HR Hakim]

Boleh jadi mereka juga termasuk dalam hadis mereka yang akan berdamai dengan Islam bagi menghadapi musuh yang sama. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستصالحون الرومَ صُلحًا آمنًا، فتغزون أنتم وهم عدوًّا من ورائهم

“Kamu bakal berdamai dengan Rom. Maka kamu dan mereka akan memerangi musuh di belakang mereka.”

[HR Ibnu Majah]

Gereja Katolik hari ini tidak terlepas daripada kemasukan anasir Evangelikalisme. Fahaman ini membawa kepada pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai hak milik Yahudi sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Zionis. Katolik sedang bergelut dengan anasir Evanglical yang meresap masuk ke gereja-gereja mereka bertujuan memaksa mazhab tersebut mendukung aspirasi musuh ketat mereka, Yahudi laknatullah.

Namun perkaitan dengan Kristian Ortodoks adalah lebih kuat. Ini berdasarkan hadis bahawa umat Islam akan bergabung sebelum berperang dengan Bani Asfar. Di dalam hadis konteks berlainan, Nabi memaksudkan Bani Asfar sebagai keturunan Heraclius iaitu Maharaja Rom Byzantine. Keturunan beliau kini berada di Rusia.

Apa yang pasti, antara hikmah diturunkan Nabi Isa A.S menurut ulamak adalah untuk menyatukan kembali penganut Kristian. Simbolik mematahkan salib yang dilakukan oleh Nabi Isa nanti menjadi tanda bahawa anutan mereka selama ini salah, dan akhirnya membawa mereka memeluk Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا تقومُ السَّاعةُ حتَّى ينزلَ فيكم ابنُ مريمَ حَكمًا مُقسطًا فيَكسرَ الصَّليبَ ويقتلَ الخنزيرَ ويضعَ الجزيةَ ويفيضَ المالُ حتَّى لا يقبلَهُ أحدٌ

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Ibn Maryam turun kepada kamu sebagai pemimpin yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan jizyah. Maka ketika itu harta melimpah ruah sehingga tiada orang yang mahu menerimanya lagi.”

[HR Bukhari]

Apabila telah jelas kumpulan-kumpulan yang digazetkan di dalam al-Quran, menjadi suatu kewajipan untuk kita menurut larangan Allah S.W.T supaya tidak menjadikan pakatan Yahudi dan Nasrani (Zionis dan sekutu) sebagai sekutu. Berdasarkan mafhum ayat di atas juga, sekiranya ada di kalangan umat Islam yang bersekutu dengan mereka, maka mereka telah menjadi sebahagian daripada musuh Islam yang wajib kita perangi.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 2/7/2019