Hasrat laksana PPSMI langkah mundur – Normala

KUALA  LUMPUR: Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) membantah hasrat kerajaan untuk melaksanakan semula dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Advertisement

Presiden PENDIDIK, Normala Sudirman menegaskan, ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 yang jelas meletakkan kepentingan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jelas beliau, ia juga bermakna bahasa kebangsaan adalah sebagai bahasa penghantar utama dalam semua subjek penting mata pelajaran utama di sekolah-sekolah.

“Telah jelas terbukti pelaksanaan dasar PPSMI ini mendapat bantahan bukan sahaja dalam kalangan tokoh akademik, pejuang bahasa, malahan warga pendidik dan ibu bapa.

Dasar PPSMI mula dilaksanakan pada 2008 dan telah mendapat bantahan secara besar-besaran pada tahun 2009 terutama oleh ramai tokoh akademik, pejuang bahasa, parti politik, warga pendidik dan ibu bapa.

Pemansuhannya telah diisytiharkan tahun 2009 itu dan seterusnya proses akhir dimuktamadkan pada tahun 2012, namun mutakhir ini berbangkit semula bahawa ia akan dilaksanakan.

“Sepatutnya mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains mestilah diajar dalam bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu yang telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. (Malah) Negara-negara besar dunia yang maju dilihat tegas mempertahankan bahasa rasmi mereka.

“Seperti Jepun, Jerman, China dan sebagainya kerana optimis bahawa bangsa mereka hanya akan maju jika menjaga identiti bahasa ibunda masing-masing dalam melaksanakan urusan pendidikan negara.

“Kita bukan menafikan kepentingan Bahasa Inggeris tetapi sikap terlalu mengagungkannya sehingga mahu meminggirkan peranan Bahasa Melayu amat dikesali,” ujarnya mempersoalan dasar PPSMI yang telah menelan kos lebih dari RM6.3 bilion itu.

Beliau turut mengingatkan agar tidak menjadikan pelajar dan warga pendidik sebagai ‘mangsa eksperimen’ atau ‘tikus makmal’ sehingga masa depan pelajar dalam dunia pendidikan gelap.

Tempelaknya, semua itu angkara dasar pendidikan yang caca marba, tidak konsisten dan tidak terarah dan umpama tikus membaiki labu di mana menuntut semua pihak bertindak sebelum terlambat. – HARAKAHDAILY 30/6/2019