Apa langkah selesai daftar pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman meminta Perdana Menteri menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk menyelesaikan masalah pendaftaran pelarian Rohingya yang diselia oleh United Nations High Commissioner For Refugees (UNHCR).

Advertisement

Beliau turut mempersoalkan berapakah jumlah pelarian terkini yang didaftarkan di bawah agensi tersebut.

Beliau mengemukakan soalan tersebut ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tarmizi turut mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan adakah pihak kerajaan bersedia untuk mewujudkan satu unit yang khas di bawah mana-mana jabatan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan UNHCR dalam proses pendaftaran pelarian ini.

“Hal ini kerana data-data yang ada sekarang adalah sepenuhnya dimiliki oleh UNHCR dan tidak dimiliki oleh agensi kerajaan yang ada.

“Ia menyebabkan pelarian ini terpaksa menunggu begitu lama proses permohonan,” ujarnya.

Selain itu, beliau mempersoalkan adakah kerajaan bersedia menjadikan pelarian Rohingya ini sebagai pekerja asing yang didaftarkan secara sah melalui saluran undang-undang yang ada.

Menjawab soalan itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh UNHCR, jumlah pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar ialah 173,731 orang merangkumi 124,753 orang pelarian dan 48,978 pemohon suaka.

“Proses penentuan status pelarian ini dijalankan oleh pihak UNHCR berdasrkan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 93,198 adalah etnik Rohingya yang merangkumi 80,435 pelarian dan 12,763 pemohon suaka,” tambah beliau.

Dalam pada itu, proses pembaharuan kad-kad UNHCR yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik juga sedang giat dilaksanakan oleh UNHCR. – HARAKAHDAILY 1/7/2019