PAS, hukum agama dan saya

PAS ditubuhkan kerana para ulamak merumuskan HUKUM wajib ditubuhkan sebuah jamaah Islam. Gagasan amar makruf nahi mungkar dalam negara mewajibkan wujudnya sebuah jamaah dan kesatuan umat yang utuh dan tersusun.

Advertisement

Saya menyertai PAS kerana para ulamak merumuskan HUKUM kewajiban setiap muslim menyertai jamaah Islam. Islam mewajibkan kesatuan. Berseorangan tanpa ketua akan mendorong kepada perpecahan umat dan kelemahan.

Saya bekerja mendukung PAS kerana para ulamak merumuskan HUKUM wajib setia, wala’ dan taat kepada jamaah yang disertai, serta haram HUKUM-nya mengkhianati amanah yang diberikan oleh jamaah dan parti saya.

Saya mengundi dalam pilihan raya kerana para ulamak merumuskan HUKUM wajib memilih pemimpin yang bertakwa kepada Allah, serta memilih partinya yang bersedia menjadikan al Quran dan al Sunnah sebagai sumber utama hukum negara.

Saya tidak sesekali akan mengundi parti yang menentang Islam atau syariat Islam kerana para ulamak merumuskan HUKUM haram menyokong musuh Islam yang memerangi Allah dan hukum syariat-Nya.

Saya tidak akan mengundi parti yang memberi sokongan secara terbuka dan nyata kepada parti yang menentang Allah dan hukum syariat-Nya kerana para ulamak telah merumuskan HUKUM haram berkompromi dan bersekongkol dengan musuh Islam.

Sebagaimana amalan solat dan puasa saya berdasarkan HUKUM agama yang dirumuskan oleh para ulamak, maka begitulah amalan dan tindakan saya dalam urusan keluarga, ekonomi, kewangan, sosial dan urusan politik saya juga.

Hidup dan mati saya adalah berdasarkan HUKUM agama. Jika saya melanggarnya, itulah seburuk-buruk hari saya yang saya wajib bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan sesegeranya agar diampuni Allah.

Tetapi malang, ada daripada kalangan muslim yang meremehkan hukum hakam agama dalam berpolitik. Bagi mereka, HUKUM agama merencatkan minda rakyat untuk bebas berfikir dan bertindak. Ironi, merekalah penjunjung gagasan ‘rahmatan lil-alamin. ‘No wonder, by DAP compliance.’

Semoga Allah menjauhi saya daripada mereka dan mereka daripada saya sehinggalah Allah menukarkan kegelapan kepada hidayah-Nya. Kemunafikan warna warninya memukau. Berapa banyak serangga terbang terbakar oleh pesona api.

Teruskan berdakwah di jalan Allah. Berikan berita gembira. Sampaikan amaran dan amarah tuhan. Allahul musta’an.

#IslamMemimpinPerpaduan
#DemiIslam
#TaawunUMNOPAS

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
AJK PAS Pusat
1/7/19 – HARAKAHDAILY 1/7/2019