Penyatuan akan runtuhkan tembok Kerajaan PH

SIK: Perpaduan umat penting direalisasikan agar Islam kembali memimpin tampuk kekuasaan negara, apatah lagi saban hari Islam dihina dan dipersendakan di negara ini.

Advertisement

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyatuan ini tidah harus semata-mata kerana pilihan raya, tetapi untuk kekuatan umat menghadapi zaman ini.

“Zaman langit terbuka yang bertuhankan media sosial ketika ini tidak mengendahkan dosa dan pahala, halal dan haram,” ujarnya pada Majlis Sambutan Aidil Fitri di Kompleks PAS Kawasan Sik, di sini kelmarin.

Jelasnya, penyatuan tersebut semakin penting memandangkan DAP secara terang nyata kian rakus dan mara dalam arena politik tanah air mempengaruhi pelbagai pihak dengan agenda mereka.

“Kita saksikan beberapa keputusan Menteri yang tidak dapat restu serta tidak menguntungkan DAP terpaksa dibuat pusingan ‘U’. Menunjukkan DAP adalah ‘Abang Besar’ dalam Kerajaan PH hari ini.

“Ahli-ahli Parlimen Melayu beragama Islam dari PAN, Bersatu, serta PKR tidak dapat bersuara dengan lantang kerana masing-masing dikawal oleh DAP.

“Malah, PAN juga menjadi benteng menahan serangan yang ditujukan kepada DAP,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Terdahulu dalam ucapan itu, Sanusi turut melontarkan keyakinan bahawa ta’awun siyasi antara PAS dan Umno memungkinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah diambil alih PRU nanti.

Katanya juga, muafakat politik hasil gabungan umat Islam Melayu ini juga bakal bakal meruntuhkan tembok Kerajaan PH, sekali gus mereka hanya akan memerintah sepenggal.

Hadir sama pada majlis penuh meriah itu adalah Ketua Umno Bahagian Sik, Dato’ Mohd Tajudin Abdullah dan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman serta Adun Belantek, Ustaz Mohd Isa Shafie. – HARAKAHDAILY 1/7/2019

IMG 20190701 WA0002