Wajib jatuhkan K’jaan PH kerana bawa darurat besar

TAMBUN: Kesepaduan PAS-Umno yang semakin mengukuh dan diyakini rakyat menyebabkan lawan menimbulkan was-was dengan melabel perpaduan tersebut sebagai sandiwara politik.

Advertisement

Malah, mereka kian tidak tentu arah apabila diserukan kalimah ‘wajib’ menjatuhkan Kerajaan PH sebagaimana dikemukakan Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Sedangkan menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said, ianya istilah tepat bagi menghadapi kemudaratan yang ditimbulkan PH ke atas kepentingan rakyat dan negara ini.

“Ia menjadi suatu kewajipan kerana kita lihat dengan jelas sehingga sebahagian Mufti pun menyatakan mudaratnya Kerajaan PH, maka ini bukanlah sekadar berseteru dalam medan politik.

“Rakyat perlu sedar akan kemudaratan yang dibawa Kerajaan PH,” ujarnya menyifatkan serangan PH kerana merasakan kedudukan kerajaan mereka semakin goyah.

Malah, yakini Ustaz Salleh, penolakan masyarakat terhadap PH kian jelas berdasarkan pelbagai isu yang gagal ditangani pasca PRU14 terutama membawa ancaman terhadap kepentingan majoriti.

Tambah beliau, pendekatan takaful dharuriy yang dimurnikan PAS dan Umno hari ini menjadi garis panduan dalam ta’awun siyasi iaitu tolong-menolong mengelak kemudaratan lebih besar.

“PAS komited tarbiyah ahlinya dalam mendepani cabaran politik semasa yakni dengan bersikap berlapang dada dengan semua pihak yang mahu bekerjasama demi kedaulatan Islam.

“Melalui pendekatan BPMS, PAS menepis politik persepsi dimainkan PH. Contohnya penularan video ‘hanyir’, PAS tidak hukum siapa-siapa selagi belum dibuktikan bersalah dan arah ahli tidak terlibat sebar,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 1/7/2019