Jatuh Kerajaan PH suntik semangat ahli PAS

JERANTUT: Tindakan pihak tertentu membuat laporan polis terhadap kenyataan mahu menjatuhkan kerajaan PH dianggap terdesak kerana takut kehilangan kuasa.

Advertisement

Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud berkata, kenyataan wajib menjatuhkan kerajaan PH pada muktamar PAS di Kuantan baru-baru ini dianggap sebagai motivasi bagi meningkatkan gerak kerja ahli PAS.

Katanya, seruan tersebut sebagai menyuntik semangat supaya ahli dan penyokong PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi mengalahkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaimanapun menurutnya kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh tiba-tiba dianggap sebagai fatwa oleh pihak yang bimbang penolakan rakyat pada PRU akan datang.

“Kenyataan seperti itu bagi ahli PAS adalah perkara biasa dan bukan sebagai fatwa seperti diandaikan pihak lain,” katanya di sini.

Ketika menggulung perbahasan pada muktamar PAS baru-baru ini Dr Nik Zawawi antara lain menyebut menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib.

Ekoran itu baru-baru ini beberapa NGO dilapor membuat laporan polis mendesak siasatan terhadap Ketua Dewan Ulamak PAS yang dianggap mereka berunsur provokasi. – HARAKAHDAILY 2/7/2019