Kepada semua rakyat Malaysia

SAYA sangat bangga dengan sikap keterbukaan rakyat Malaysia yang mula bertegas untuk mencari kebenaran dan menolak adudomba politik murahan. Situasi ini menjadi matang selepas rakyat membuat perubahan drastik melalui Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.

Advertisement

Kebanyakan rakyat membuka mata dengan tekun dan bergerak pantas ke hadapan serta membaca apa saja pergerakan dan kenyataan politik semua parti-parti yang ada demi untuk mereka membuat perhitungan matang dalam pilihan raya akan datang.

Saya secara khusus turut menilai perkembangan negara dari pelbagai aspek yang kebanyakan gagal dan bakal menghambat rakyat ke arah penderitaan kehidupan dan kehancuran peradaban agama dan bangsa sehingga dengan tegas saya mengatakan “Menjatuhkan Kerajaan PH Hukumnya Wajib”. Tanpa saya jangka kenyataan ini menarik perhatian ramai yang cinta kepada kedamaian dan kemakmuran hidup duniawi dan ukhrawi. Tidak asing juga kritikan yang pedas kepada kenyataan saya ini. Ada yang mencabar saya berdialog dan ada yang membuat laporan polis. Yang anehnya golongan pertengahan yang ribut bercakap dan menawar diri untuk berdialog.

Bagi saya dialog dengan semangat untuk mencari jalan penyelesaian Islam adalah sangat baik. Dialog profesional ini sangat berkesan kalau diadakan antara tokoh-tokoh politik tertinggi yang mampu merubah hala tuju politik dan pemerintahan negara sangat memberi impak positif untuk semua.

Bepaksikan kepada mencari kebaikan untuk semua saya sangat mengharapkan agar dialog antara saya dengan sahabat karib saya Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa diterima oleh beliau.

Saya bukan mencabar beliau dalam hal ini. Cuma saya mengajak berdialog secara harmoni untuk mencari jalan penyelesaian Islam dalam polemik politik negara. Saya tidak berhasrat untuk mencari kemenangan atau publisiti murahan. Kalau sekiranya perlu dibuat dialog dengan pimpinan lain yang lebih tinggi pun lebih baik untuk Islam dan ummahnya.

Sekali lagi saya menyeru agar ruang dialog secara terbuka dan beradan sentiasa subur di dalam negara kita.

Sekian, dari insan daif:
USTAZ DR NIK ZAWAWI SALLEH
Setiausaha Majlis Syura Ulamak,
Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/7/2019