Mujahid tidak sensitif derita umat Islam Uighur

KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Mujahid Yusof Rawa selepas melawat kem tahanan etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang, China amat mengguris hati umat Islam khasnya mereka yang sedang berdepan kezaliman di China.

Advertisement

Pandangan menteri agama itu dalam isu berkenaan penindasan umat Islam di Uighur sangat mengecewakan seluruh umat Islam, malah ia satu penghinaan tatkala seluruh ummat menadah tangan mendoakan agar kezaliman ke atas etnik Uighur ditamatkan segera.

Kenyataan Mujahid dalam Facebook beliau berkongsi lawatannya ke sebuah kem yang menurut China, ia adalah ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur’ amat menghina, malah tidak sedikit memperlihatkan belas ihsan beliau ke atas penindasan yang sedang berlaku.

Umum mengetahui, China telah menindas etnik minoriti Islam Uighur dan menahan mereka di kem-kem tahanan yang berselindung di sebalik ‘pusat latihan dan vokasional’ ataupun pendidikan semula di wilayah barat, Xinjiang.

Bagi kami di Dewan Ulamak PAS Selangor, kami amat kesal adanya seorang menteri yang sangat naif tentang apa yang berlaku kepada umat Islam seperti di Uighur dan telah membuat satu kenyataan dan pendirian dan tindakan beliau yang sangat mengecewakan seluruh umat Islam di Malaysia, bahkan seluruh dunia.

Bagi DUPNS apabila Mujahid menyatakan bahawa penindasan umat Islam Uyghur di Xinjiang, China adalah satu cerita palsu, maka dia telahpun mengkhianati umat Islam.

Mujahid sebenarnya gagal membaca fakta yang dilaporkan Human Right, International Agency membuat laporan berlaku penindasan yang sangat dahsyat kepada umat Islam di Xinjiang, China.

Untuk pengetahuan menteri agama, penduduk Islam di wilayah Xinjiang berdepan pelbagai sekatan terhadap kebebasan budaya dan agama yang dikenakan parti komunis China. Jika menteri agama gagal memahami hal ini, maka selayaknya dia melepaskan jawatan sahaja.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD IBRAHIM @ MAD CHINA
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Selangor – HARAKAHDAILY 2/7/2019