Paduan PAS-Umno bukan sekadar agenda politik

BANGI: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata, Majlis Sambutan dan Jamuan Raya Perpaduan Ummah anjuran bersama PAS Kawasan Bangi dan Umno Bahagian Bangi merupakan program kali pertama diadakan sejak kewujudan parti politik itu.

Advertisement

Menurutnya, perpaduan itu merupakan satu signal yang penting untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang.

Namun, bagi PAS, perpaduan itu bukan sekadar satu agenda politik tetapi merupakan satu rahmat.

“Hal ini kerana Allah memerintahkan supaya umat Islam jangan berpecah belah.

“Umat Islam hendaklah sentiasa bersatu padu dan kita ingin menzahirkan rasa ukhuwah tersebut di majlis seperti ini,” ujarnya.

Tambah beliau, selepas umat Islam diperintahkan untuk beramal ibadah, kita diperintahkan untuk memperkukuhkan ukhuwah.

Selama ini PAS dan Umno sukar untuk mengadakan majlis sambutan hari raya tetapi telah berjaya mengadakan majlis seperti ini.

Tambahnya lagi, Selangor sebagai sebuah negeri yang penting bagi melaksanakan perpaduan kerana memiliki pelbagai kaum dan keturunan.

“Ia sudah tentu menjadi satu cabaran besar untuk menjayakan perpaduan ini.

“Syukur kepada Allah kerana kita berjaya mengumpulkan bukan sekadar parti politik tetapi NGO serta masyarakat yang turut hadir bagi memeriahkan majlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2019