Tiada tempat untuk politik kotor

SHAH ALAM: PAS berprinsip bahawa politik kotor tiada tempat dalam politik negara, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin.

Advertisement

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian ke-114 di Komplek Dewan Karangkraf, Shah Alam sebentar tadi.

Katanya, rakyat ingin melihat nafas baru yang dibawa oleh pemerintah terutama setelah berlakunya perubahan kerajaan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ini kerana, katanya negara Malaysia dalam fasa menuju ke arah negara yang maju, malah pada era masa kini rakyat juga ingin melihat polisi, idea serta politik bersih yang dibawa oleh pemerintah.

Namun katanya, rakyat dikecewakan dengan naratif lama yang masih diulang siar perkara yang bersifat buruk dan hanyir.

Sementara itu katanya, politik yang bersih adalah politik yang berteraskan tamadun, sistem nilai, moral, agama, sejarah serta perlembagaan.

Katanya, perkara tersebut antar indikator yang menjadikan politik itu bersih.

Mengulas lanjut beliau berkata, PAS adalah parti yang berteraskan agama yang berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah, ijmak para ulama serta qias yang terang dan nyata.

Tambahnya, empat perkara tersebut tidak berubah malah menyebabkan PAS berdepan suasana dalam pelbagai frasa pembangunan selepas pasca kemerdekaan.

Katanya, PAS juga tetap konsisten memperjuangkan sesuatu perjuangan.

Selain itu katanya, pemimpin yang berjuang menggunakan pendekatan politik kotor mereka merupakan pemimpin yang korup.

Pemimpin yang sebehgitu mendatangkan formula tidak baik, tidak mempunyai integriti dari sudut bekerja, penjagaan duit rakyat serta pejagaan polisi sehingga membawa kepada perkara pribadi.

“Kita jangan nafi pemimpin ada personal interest, betul, tetapi apabila kamu menjadi pimimpin kamu adalah hak rakyat, hal peribadi kamu adalah hal rakyat.

“Kalau kamu tidak berani memasuki gelanggang ini jangan berpolitik, ini adalah asasnya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 2/7/2019