Ambil perhatian kes kehilangan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang berlaku dalam negara perlu diambil perhatian dengan mewujudkan langkah-langkah menangani berkesan.

Advertisement

Membangkitkan isu tersebut dalam soalan tambahan ketika sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menuntut kerajaan menjelaskan langkah kerajaan untuk mengatasi kes itu.

Katanya, kebanyakan masyarakat juga mengaitkan kes kehilangan kanak-kanak ini dengan kedatangan pendatang asing ke negara ini dan kes penjualan organ.

“Masyarakat mengaitkan kehilangan kanak-kanak dengan isu pendatang asing dan penjualan organ.

“Bagaimana kementerian melihat kebenaran isu ini, serta sejauh mana pemantauan terhadap pemerdagangan kanak-kanak sehingga wujudnya pengemis kanak-kanak di tempat awam?” soalnya.

Menjawab pertanyaan tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail mengatakan bahawa kementerian dalam usaha menangani kes itu dengan membuat pemantauan berkesan.

“Kita sangat gerun kalau ada penjaulan organ, tetapi kita telah berbincang merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri tiada kes itu berlaku.

“Namun pemerdagangan (kanak-kanak) ini kita ambil serius dan memerlukan pemantauan lebih berkesan mengambil kira juga kedatangan pendatang asing ke negara ini yang dikaitkan dengan kes ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2019