Majlis Belia bantah turun had umur belia

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini membantah Rang Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 atau Akta 668 pindaan 2019 untuk menurunkan had umur belia 15 hingga 30 tahun.

Advertisement

Presidennya, Jufitri Joha berkata, pihaknya kesal dengan pindaan itu dibuat tanpa persetujuan terakhir bersama MBM selaku pihak yang bakal terkesan langsung dengan pindaan ini khususnya berkaitan pindaan had umur belia.

Katanya, solusi transisi perubahan had umur yang disenangi dan diterima oleh semua pihak telah diberikan MBM yang dipersetujui oleh Menteri sendiri ketika ucapan Hari Belia Negara 2019 di UKM iaitu 15 hingga 35 tahun.

“Had umur 15 hingga 35 tahun solusi terbaik dan munasabah yang diterima oleh semua badan gabungan MBM untuk dilaksanakan.

“MBM dan badan gabungan bersetuju untuk ‘all out’ berkempen secara besar besaran memberikan laluan dan ruang seluas-luasnya memimpin pertubuhan belia di bawah 30 tahun,” ujarnya.

Paling penting had umur 15 hingga 35 tahun bagi memastikan transisi kepimpinan berlaku secara sukarela, lancar dan tidak menyebabkan pertubuhan belia di akar umbi mati kerana melibatkan soal memimpin.

Tambah beliau, kali terakhir MBM dan KBS bermesyuarat berkenaan hal ehwal ini adalah pada 16 April 2019 namun belum dimuktamadkan dan masih belum mencapai apa-apa persetujuan bersama.

Katanya, sewajarnya deraf terakhir pindaan Akta 668 dibentangkan secara rasmi kepada pimpinan MBM untuk persetujuan terakhir bersama sebagaimana yang dilakukan oleh Menteri Belia kepada ahli-ahliParlimen. – HARAKAHDAILY 3/7/2019