Pekerja Afrika: Menteri cakap tak serupa bikin

alias hamid

CADANGAN Menteri Sumber Manusia untuk membawa masuk pekerja asing Afrika ke Malaysia disifatkan cakap tak serupa bikin apabila sebelum ini dalam Dewan Rakyat, menteri berkenaan menyatakan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Advertisement

Merujuk Jabatan Perangkaan, sebanyak 3.3 juta warga asing secara sah tinggal di negara ini pada tahun lalu. Negara kita seperti “dijajah” oleh mereka apabila jumlah ini cukup membimbangkan. Malahan, ketika cuti perayaan lokasi-lokasi yang “panas” seperti di pusat beli-belah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang, Pasar Seni dan Kota Raya kebanyakannya dibanjiri oleh mereka.

Hakikatnya, kehadiran pekerja asing tanpa kawalan mencetuskan banyak implikasi buruk yang melibatkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI), masalah sosial dan jenayah serta penyakit berjangkit yang semakin berleluasa.

Tidak mustahil, kadar jenayah akan meningkat sekiranya pekerja asing Afrika dibawa masuk ke negara kita. Merujuk Jabatan Imigresen, seramai 282 warga Afrika ditahan dengan pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2018 hingga Mei 2019. Malahan, pada bulan lepas sahaja, seramai 130 orang warga Afrika ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana terlibat dalam jenayah dan imigresen.

Oleh itu, saya mencadangkan Kerajaan untuk mengkaji semula dasar pengambilan pekerja asing yang sedia ada agar satu peraturan baharu dengan menetapkan satu kuota kepada majikan dalam semua sektor pekerjaan 3D (dirty, dangerous and difficult) bagi memastikan sekurang-kurangnya meningkatkan peratus rakyat tempatan terlibat dalam sektor ini bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada pekerja asing.

Selain itu, Kerajaan dan majikan harus memastikan sektor pekerjaan 3D di negara kita dimodenkan dengan menggunakan peralatan yang canggih agar dipandang tinggi oleh masyarakat bagi menarik minat belia tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan yang dimonopoli oleh pekerja asing.

Bidang pekerjaan 3D yang kotor, sukar dan berbahaya ini juga boleh rebanding semula dengan nama pekerjaan yang sesuai dan tidak dipandang negatif oleh perspektif masyarakat.

Di samping bayaran gaji yang lebih berpatutan, Kerajaan juga perlu menyediakan inisiatif atau bonus tambahan bagi menarik minat pekerja tempatan menyertai sektor 3D berbanding bekerja di luar negara.

Kerajaan juga perlu memastikan sektor 3D ini dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran di pusat kemahiran di negara kita seperti di GiatMara, Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran dan Politeknik bagi memupuk minat belia menceburi bidang pekerjaan 3D dan sekali gus mengurangkan kemasukan pekerja asing di negara kita.

Islam Memimpin Perpaduan

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 3/7/2019