Ameerah dan Puteri Umno Selangor jalin muafakat

SHAH  ALAM: Ameerah Negeri Selangor telah memenuhi jemputan Jamuan Hari Raya yang dianjurkan Puteri Umno Selangor di Bangunan Umno Selangor, di sini semalam. 
 
Disambut Ketua Puteri Umno Selangor, Wildia Wati Abuzar bersama seluruh anggotanya, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Puteri Umno Malaysia, Dato’ Zahida Zarik Khan.
 
Selain menikmati juadah pelbagai menu hari raya, majlis turut mengadakan pertemuan tertutup antara Ameerah dan Puteri Umno, selain sesi suai kenal sesama anggota kedua pihak yang hadir.
 
Menurut Ketua Ameerah Selangor, Nadirah Khalid, pertemuan tersebut bertujuan mengerat hubungan wanita muda dari blok parti bukan kerajaan bagi mewujudkan kerjasama mendepani politik negara.
 
Beliau turut melahirkan harapan agar muafakat kedua pihak bakal mewujudkan momentum yang padu dalam arena politik Selangor khususnya dalam kalangan wanita muda menghadapi PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 4/7/2019
Advertisement