Mesyuarat Piagam PAS-Umno 10 Julai

KUALA LUMPUR: Mesyuarat berkenaan muafakat di antara dua parti terbesar di Malaysia iaitu PAS dan Umno bagi meneliti draf piagam tersebut bakal diadakan 10 Julai ini, kata Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Advertisement

Menurut beliau, bagi meneliti draf permuafakatan tersebut, beliau meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamad Hasan untuk diteliti bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang akan ditandatangi pada tarikh yang dipersetujui bersama.

“Mesyuarat akan diadakan dalam bulan ini juga, insya-Allah 10 Julai, dan disitu saya telah memberikan kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk mesyuarat bersama dengan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bersama-sama bagi meneliti draf perancangan piagam yang akan insya-Allah ditandatangani pada tarikh yang dipersetujui bersama antara PAS dan Umno,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri Penyatuan Ummah, di Kompleks Sukan DBKL Desa Tasik, Bandar Tun Razak anjuran PAS Kawasan Bandar Tun Razak dan Umno Bahagian Bandar Tun Razak, semalam.

Turut hadir dalam majlis sama ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Nuridah Mohd Salleh, Timbalan Ketua DMPM, Dr Rosni Adam, Yang Dipertua PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Md Shukor Aziz, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Dato’ Rizalman Dato’ Mokhtar dab beberapa lagi pimpinan dari kedua-dua parti.

Sementara itu, beliau ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sekali lagi menegaskan bahawa PAS dan Umno hanya akan bersetuju sekiranya pendaftaran pengundi dibuat secara automatik.

“Kita telah memutuskan dalam mesyuarat bersama ahli-ahli Parlimen BN dan PAS bahawa kita akan hanya bersetuju pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 119(1) iaitu menurukan had umur kepada 18 tahun jika pendaftaran dibuat kepada pengundi secara automatik.

“Ini persetujuan bersama, maka syarat automatik ini mesti juga dimasukkan dalam pindaan itu, dan jika mereka mahu memperolehi 2/3 majoriti, mereka harus bersetuju dengan pendafaran pengundi baru dan pengundi yang belum berdaftar ini secara automatik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2019