Exco DAP Johor gagal fahami pendekatan PAS

PAGI semalam melalui akhbar online yang menjadi lidah PH iaitu Malaysiakini memaparkan laporan tajuk berita mengenai Pendekatan Politik PAS Yang Bahaya oleh Exco Johor, YB Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, bekas ahli PAS yang kini menjadi ahli DAP. Laporan tersebut boleh dibaca di sini: https://m.malaysiakini.com/news/482308

Advertisement

Jika dilihat pada laporan tersebut, beliau menuduh PAS adalah parti yang membawa politik masa silam dan mempersoalkan bahawa adakah PAS satu-satunya parti yang berpolitik dan bersuara seolah-olah mereka satu-satunya wakil kepada Islam di negara ini. Persoalannya, adakah partinya (DAP) lebih membawa politik kepada masa depan dan semua rakan partinya (PH) memperjuangkan dasar Islam?

Jelas sekali, keluarnya beliau daripada parti PAS semakin membuatkan beliau bercelaru. Beliau gagal memahami fikrah perjuangan PAS disebabkan kurangnya pentarbiyahan di dalam dirinya dan gagal untuk memahami dasar perjuangan PAS yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Tuduhan kepada PAS seperti PAS dikatakan tidak menyokong pengiystiharan harta, tidak perlu menyiasat kes rasuah dan sebagainya adalah satu tuduhan yang melulu dan semberono. Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man kelmarin telah menyatakan mengenai mekanisme yang perlu dalam pengisytiharan harta dan beliau sama sekali tidak menyatakan bahawa beliau tidak menyokong pengisytiharan aset ahli parlimen.

Saya merasakan bahawa YB Sheikh ‘Umar Bagharib Ali ini mengeluarkan pendapat dan tuduhannya berasaskan maklumat yang diperolehi melalui portal-portal berita daripada media cetak dan online pro-kerajaan di mana berita-berita tersebut kerap telah diputar belit oleh wartawan yang gagal memahami isi-isi ayat dan pandangan yang dilontarkan daripada pimpinan PAS.

Untuk makluman YB Sheikh Umar, alhamdulillah setakat hari ini, PAS tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan rasuah oleh SPRM dengan kes yang direkodkan setakat ini adalah kosong walaupun sebelum ini beberapa pihak daripada parti komponen PH telah banyak menuduh PAS menerima duit daripada Umno dan 1MDB dan PAS sentiasa menyokong mana-mana pihak yang terlibat dengan kes rasuah supaya disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa pendekatan politik PAS tidak pernah mendatangkan bahaya malahan PAS kini lebih melangkah ke hadapan dan sentiasa membawa perubahan serta kemajuan dalam berpolitik tanpa perlu menggadaikan dasarnya.

Lihat sahaja kini, pertambahan ahli yang meningkat sehingga lebih 1 juta keahlian, di samping program-program PAS yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Setiap perancangan dan tindakan daripada parti PAS adalah berlandaskan kepada tuntutan syariat Allah dan PAS tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan pihak yang cuba menunggang agama ini. – HARAKAHDAILY 5/7/2019

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Putrajaya.

Rujukan:

1) http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/11774-isytihar-harta-patut-diikat-punca-kuasa-jelas?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook
2) https://www.google.com.my/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/isytihar-harta-pas-nafi-perkuda-agama-211633%3famp=1
3) https://www.google.com.my/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/dana-rm90-juta-1mdb-tak-masuk-ke-dalam-akaun-pas-sprm-199473%3famp=1
4) http://m.utusan.com.my/berita/politik/pas-komited-perjuang-malaysia-bebas-rasuah-1.921377
5) http://m.utusan.com.my/berita/politik/kerjasama-umno-pas-langsung-tidak-berbahaya-1.856476
6) http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/11730-rakyat-usah-terpengaruh-momokan-takut-pada-pas?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook