Ajakan Presiden Bersatu untuk Melayu bersatu?

HAYAT kerajaan PH seperti diramal dan dihidu oleh banyak pihak, protes diam dan yang muncul mencabar seperti taufan fenomena yang tak sabar menunggu detik PRU15. Sebagai orang paling lama dalam politik negara ini, Tun Mahathir bukanlah naif dan terlalu bodoh untuk membaca olakan permukaan dan kocakan di dasar politik tanah air. Perdana Menteri ketujuh Malaysia ini mula memancing emosi orang Melayu untuk bersatu di bawah partinya yang berumur kurang daripada tiga tahun itu.

Advertisement

riduan mnorPolitik orang Melayu di ambang perpecahan yang dasyat sehingga kuasa tawar menawar politik mereka tersangat lemah. Parti Tun sendiri hanya memenangi 12 kerusi Parlimen dalam PRU14, bergantung ehsan kepada DAP dalam pemuafakatan PH. Pasca 9 Mei 2018, kontrak sosial didobrak dengan rakus oleh politikus chauvinis sehingga dua parti politik terbesar orang Melayu, PAS dan Umno menyusun pemuafakatan baru perpaduan ummah. Penyokong PH seperti kerasukan melihat penyatuan ini dan seperti menghidu malapetaka kepada mereka dalam PRU15.

Tun Mahathir memberikan sejumlah alasan mengapa orang Melayu tidak boleh berpecah, dan tiada pun orang yang tak bersetuju dengan alasan untuk perlukan satu kesatuan yang kukuh bagi orang Melayu. Namun watak Tun sendiri sebagai bapa penyatuan yang diragui kerana bagasi sejarahnya tak mampu ditutup dengan nyiru.

Tun Mahathir menggerakkan usaha menjatuhkan Tunku Abdul Rahman, berselisih dengan mantan PM yang lain, menaiki kuasa pada tahun 1981 dengan denai sejarah intriq dan polemik yang panjang. Beliau mempunyai empat orang Timbalan Perdana Menteri, di zamannya juga berlakunya tragedi Memali, tangkapan borong ISA seperti tangkapan pemuda, Ops Kenari, Operasi Lalang, tangkapan KMM. Pelbagai akta draconian muncul di zamannya memerintah Malaysia antara tahun 1981 sehingga 2003.

Di zaman Tun Mahathir, Umno berantakan sehingga diharamkan pada tahun 1988. Persaingan kuasa antara Tun dan Ku Li, melahirkan parti Semangat 46, persaingan kuasa dengan Anwar Ibrahim sehingga dipecat jawatan sebagai timbalan dalam parti dan kerajaan telah melahirkan Parti Keadilan Nasional. Tun tak peduli suara penentang-penentangnya dalam politik, biar bantahan awam bermandi darah, bersimbah air kimia, politik pecah dan perintah sangat sinonim dengan Tun dalam dekad 1980-an dan 1990-an.

PAS paling teruk dilanyak di bawah pemerintahan Tun, pemenjaraan politik, penistaan, pengucilan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS seperti Kelantan dan Terengganu. Parti Islam itu sentiasa konsisten mengajak umat untuk bersatu di bawah persaudaraan akidah dan tidak meminggirkan kaum lain. Dalam sejarahnya, semua parti-parti serpihan musuh PAS mencari parti Islam itu untuk “bernafas” dan bertapak. Tak sedikit yang akhirnya mengkhinati PAS selepas mendapat sedikit nikmat kekuasaan.

Parti Bersatu boleh sahaja menyertai pemuafakatan politik kesatuan ummah untuk menyelamatkan tanah air ini. Saya tidak mengharapkan PAN untuk menyertai pemuafakatn ummah ini kerana Tun juga memahami citra dan aspirasi parti serpihan PAS itu seumpama Dewan Himpunan Penyokong DAP. Masa depan ummah tidak boleh digadaikan di tangan pemimpin chauvinis dan etnosentrism anak butir PAP, tanah leluhur ini ada tuan tanahnya! – HARAKAHDAILY 6/7/2019