Politik ugut: PH rosakkan semak dan imbang

KEBEBASAN bersuara adalah elemen penting sistem demokrasi untuk mewujudkan semak dan imbang terhadap sesebuah kerajaan. Bahkan dalam Islam sendiri, menegur kerajaan yang zalim adalah kewajipan bagi setiap rakyat. Tindakan menegur sebarang kezaliman dan salah laku adalah satu tindakan terpuji dan bertanggungjawab dalam memperkukuhkan demokrasi. 
 
Namun, hari ini terdapat cubaan dilakukan untuk menghalang suara-suara yang ingin memberikan teguran dalam mewujudkan suasana semak dan imbang kepada Kerajaan PH. Ini sepertimana terjadi kepada kes melibatkan ahli akademik, Abdul Muein Abadi dan sebelum dari itu kepada Dr Kamarul Zaman Yusoff.
 
Reaksi Penasihat Media Perdana Menteri, Dato’ A Kadir Jasin terhadap tulisan pensyarah UKM, Abdul Muein Abadi sangat dikesali kerana berbau tekanan dan ugutan. Sebagai individu berpengalaman luas di dunia media, Dato A. Kadir sewajarnya menghadapi tulisan ahli akademik itu secara hujah ilmiah.
 
Namun, malangnya Dato’ A Kadir memberi reaksi terhadap tulisan itu dengan melabelkan Abdul Muein telah menabur fitnah dan kepalsuan. Sedangkan tulisan bertajuk “400 Hari PH Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara” itu adalah kesimpulan dari himpunan fakta-fakta umum yang bukannya pendedahan sulit atau rahsia.
 
Dengan kedudukan beliau bersama elit kuasa politik, sikap tersebut menjadi satu lagi malapetaka baharu yang jelas cuba menutup pendedahan kelemahan Kerajaan PH dengan ugutan. Jika pendedahan ilmiah dari ahli akademik menerima layanan sedemikian, maka tidak hairan selepas ini mereka akan terus mengekang sebarang pembongkaran salah urus tadbir dan kelemahan Kerajaan PH.
 
Keadaan ini akan memusnahkan integriti dan kebebasan serta hak asasi yang sebelum ini gah kononnya diperjuangkan pimpinan PH. Ini menunjukkan slogan perjuangan PH sebelum ini sebenarnya hanyalah retorik untuk meraih sokongan rakyat semata-mata.
 
Arahan Dato’ A Kadir supaya pihak UKM dan Kementerian Pendidikan memantau kualiti penghujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik sangat bercanggah dengan Janji 50 Manifesto PH. Iaitu mahu “memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan terjamin, serta semua institusi pengajian tinggi awam mempunyai autonomi yang sewajarnya”. 
 
Apatah lagi bila Menteri Pendidikan baru sahaja memberi jaminan di Parlimen pada 3 Julai lalu bahawa kementeriannya mendukung aspirasi autonomi yang diberikan kepada Universiti Awam. Juga jaminannya dalam memberi kebebasan dan ruang kepada warga pensyarah di universiti untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mengikut kepakaran bidang masing-masing.
 
Lebih teruk lagi, permintaan Dato’ A Kadir supaya Menteri Pendidikan memberi penjelasan dan pencerahan kononnya takut-takut menjadi mangsa mainan kayu tiga oleh “the  deep  state”. Ini hanya manifestasi kepada ketidakyakinan dan ketidakpercayaan beliau kepada Menteri selain perpecahan teruk bukan sahaja antara parti dalam PH, tetapi juga sesama parti. 
 
Kalau Penasihat Media Perdana Menteri sendiri ragu kepada Menteri dan pandai-pandai mahu mencampuri urusan Menteri, bagaimanakah rakyat akan yakin dan percaya kepada Menteri? 
 
Kami sangat khuatir jika pandangan Dato’ A Kadir yang rapat dengan Perdana Menteri tidak dicanggah oleh Perdana Menteri, maka ia bukan sahaja akan membiakkan budaya melampau pihak berkuasa terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan Kerajaan PH, malah sesama pemimpin kerajaan juga sehingga melahirkan budaya “yes  man” semata-mata.
 
PAS merakam ucapan tahniah dan terima kasih di atas keberanian Saudara Abdul Muein melalui tulisan berkualiti beliau dan mengharapkan lebih ramai intelektual dan ahli akademik lain akan turut tampil mendedahkan kelemahan dan tindakan-tindakan Kerajaan PH yang merugikan dan menjejaskan kedaulatan negara. 
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia – HARAKAHDAILY 6/7/2019
Advertisement